Datuk Bandar nafi DBKL gantung penggunaan pengapit roda

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Dahlan (baju merah), bersama dengan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun (kanan), semasa program kebersihan Bukit Bintang di Plaza Low Yatt.

KUALA LUMPUR: Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Dahlan hari ini menafikan laporan mendakwa penggunaan pengapit roda (clamping) di pusat bandar raya akan digantung bulan hadapan.

Beliau sebaliknya menyatakan penggunaan pengapit roda merupakan salah satu daripada Prosedur Operasi Standard (SOP) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Tidak. Kita ikut SOP kita,” katanya kepada pemberita selepas pelancaramn Kempen Kebersihan Bukit Bintang di Plaza Low Yat hari ini.

Nor Hisham berkata demikian mengulas laporan akhbar The Star yang menyatakan beliau telah mengarahkan penggantungan untuk jangka waktu yang belum dipastikan lagi bagi penggunaan pengapit roda (clamping) di pusat bandar raya bermula bulan hadapan.

Laporan akhbar itu semalam yang memetik sumber dari DBKL berkata mesyuarat mengenai isu itu diadakan di antara Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL Datuk Mahadi Che Ngah dengan pegawai kanan dari Jabatan Undang-undang dan Kewangan serta syarikat pengendali tempat letak kereta.

Laporan itu turut menyatakan Nor Hisham telah mengarahkan penggantungan untuk jangka waktu yang belum dipastikan lagi bagi penggunaan pengapit roda (clamping) di pusat bandar raya bermula dari bulan November ini.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, penggunaan pengapit roda akan terus digunakan oleh DBKL.

“Masih berjalan (penggunaan pengapit roda),” katanya.

DBKL mengapit roda purata 915 kenderaan dan mengeluarkan notis kompaun purata 3,659 kereta setiap hari.