Tentera Pakistan sahkan hukuman mati ke atas 14 pengganas

Kesemua pesalah merupakan anggota kumpulan militan yang diharamkan dan mengaku bersalah semasa perbicaraan.

ISLAMABAD: Panglima Tentera Pakistan Jen Qamar Javed Bajwa semalam mengesahkan hukuman mati ke atas 14 pengganas tedar kerana penglibatan mereka dalam jenayah keji berkaitan keganasan di negara itu, kata pihak tentera seperti dilaporkan agensi berita China, Xinhua.

Bahagian Perhubungan Awam tentera, sayap media tentera Pakistan dalam satu kenyataan berkata, 8 pesalah lain dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah tentera.

Kenyataan itu menyebut, pesalah terlibat dalam jenayah keji berkait keganasan, termasuk serangan ke atas pasukan tentera dan agensi penguat kuasa Pakistan, membunuh orang awam dan memusnahkan institusi pendidikan serta hotel milik Perbadanan Pembangunan Pelancongan Pakistan (PTDC) di lembah Swat di timur laut negara itu.

“Secara keseluruhan, mereka terlibat membunuh 22 orang, termasuk 3 orang awam, 19 pegawai keselamatan dan mencederakan 23 yang lain,” kata kenyataan itu lagi.

Sejumlah senjata dan bahan leptupan juga ditemui daripada mereka. Pesalah terbabit dibicarakan oleh mahkamah khas tentera, tambah kenyataan tersebut.

Kesemua pesalah merupakan anggota kumpulan militan yang diharamkan dan mereka mengaku salah semasa perbicaraan.