Pemimpin Umno tidak terkejut Tok Pa pilih PPBM

Mustapa Mohamed.

PETALING JAYA: Keputusan Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai PPBM bukanlah satu perkara yang memeranjatkan, kata beberapa pemimpin tertinggi Umno.

Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan Mustapa, yang lebih dikenali sebagai Tok Pa, itu memang sudah dijangka sejak dari awal lagi selepas pemimpin itu mengumumkan keluar daripada Umno bulan lalu.

“Tok Pa masuk PPBM? Takkan kamu semua tak tahu.

“Soalan itu tidak perlu tanya. Dari mula-mula keluar lagi kan dah tahu beliau nak masuk PPBM. Apa benda tanya tu?” katanya ketika dihubungi FMT.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin pula berkata, penyertaan Mustapa ke dalam PPBM sama sekali tidak menghairankan kerana beliau sudah diketahui mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin parti yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Malah katanya, bukan sesuatu yang mustahil jika bekas pengerusi Umno Kelantan itu turut diberikan jawatan penting dalam kerajaan kerana hubungan baik beliau dengan pemimpin PPBM.

“Apabila Tok Pa mengisytiharkan diri sebagai Ahli Parlimen bebas, ia bermakna beliau telah pun mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti luar. Cuma beliau perlu mencari sedikit alasan.

“Sebab dia ada hubungan baik dengan pemimpin PPBM seperti Tun Daim (Zainuddin). Itu sifu dia, jadi mudah untuk dia menempatkan diri,” katanya ketika dihubungi.

Jumaat lalu, Mustapa mengumumkan menyertai PPBM secara rasmi selepas kira-kira sebulan meninggalkan Umno.

Ketika berucap di Dewan Rakyat sebelum ini bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu tidak menolak kemungkinan menyertai Pakatan Harapan (PH).

Beliau meninggalkan Umno pada 18 September lalu selepas lebih 40 tahun bersama parti itu. Beliau merupakan pemimpin terkanan Umno yang pertama meninggalkan parti itu selepas pilihan raya umum ke-14 9 Mei lepas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah mencabar Mustapa supaya mengosongkan kerusi Parlimen yang dimenanginya atas tiket Umno dalam pilihan raya itu.

Katanya, Mustapa perlu bersikap “gentleman” dan berlaku adil kepada rakyat di Jeli dengan memberikan hak kepada pengundi untuk memilih semula wakil rakyat mereka.

“Saya fikir jika Tok Pa ‘gentlemen’, beliau perlu letak jawatan dan lawan semula di Jeli. Biar rakyat pilih siapakah pemimpin yang mereka mahu.

“Adalah tidak adil mandat yang rakyat berikan kepada Umno di Jeli dikhianati oleh Tok Pa. Justeru itu saya cabar Tok Pa supaya kosongkan kerusi dan bertanding semula di Jeli,” katanya.

Shamsul dalam pada itu berkata, Umno akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Mustapa seperti yang telah dikatakan presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

Zahid dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) lalu berkata, tindakan undang-undang terhadap wakil rakyat yang meninggalkan parti itu telah diambil.

Malah, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata writ saman juga telah dihantar kepada mereka yang terlibat.

Selain Mustapa, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin; Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Noor Azmi Ghazali dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal turut mengumumkan keluar Umno selepas parti itu hilang kuasa pada pilihan raya umum lepas.