Penganalisis: Tok Pa aset bernilai kepada PPBM

Kemasukan Mustapa ke dalam PPBM akan menambahkan bilangan kerusi Parlimen parti itu sendiri.

PETALING JAYA:Penganalisis politik melihat Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai aset besar kepada PPBM selepas penyertaannya ke dalam parti itu Jumaat lalu.

Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata kehadiran Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa ke dalam PPBM mampu mengukuhkan parti itu ekoran pengalamannya menjawat jawatan penting dalam kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, Mustapa mampu membantu menyerlahkan semula parti itu selepas ada kalangan menteri kabinet PPBM kerap dikritik kepimpinan mereka oleh banyak pihak.

“Dalam konteks sekarang di mana beberapa orang pemimpin atau menteri PPBM dikatakan tidak begitu cemerlang prestasi mereka, maka kemasukan Tok Pa dijangka memberikan lebih banyak pilihan kepada PPBM untuk menampilkan diri sebagai parti yang lebih berwibawa.

“Selain itu, memang jelas kemasukan Tok Pa ke dalam PPBM akan menambahkan bilangan kerusi Parlimen parti itu sendiri,” katanya kepada FMT.

Kamarul berkata demikian ketika mengulas pengumuman Mustapa pada Jumaat lalu untuk menyertai PPBM.

Menurut Mustapa, beliau memilih PPBM kerana percaya ia akan membuka ruang kepadanya untuk membantu rakyat di kawasan Parlimen Jeli.

“Saya berterima kasih kepada Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin, serta pimpinan PPBM kerana menerima saya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM, 2 hari lalu.

Kamarul berkata, kehadiran Mustapa juga dipercayai dapat membantu menyediakan pemimpin pelapis dalam PPBM selepas parti itu lebih dikenali dengan kepimpinan seperti Dr Mahathir dan presiden parti, Muhyiddin Yassin.

“Cuma untuk Tok Pa menerajui PPBM saya rasa itu sesuatu yang agak sukar untuk berlaku sebab beliau baru sahaja menyertai PPBM,” katanya lagi.

Meskipun kehadiran Mustapa ke dalam PPBM dijangka menarik pimpinan Umno lain untuk menyertai parti itu selepas ini, Kamarul bagaimanapun berkata ia bergantung kepada penerimaan pemimpin dalam parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain.

“Sebab sebelum ini dapat dilihat bahawa ada beberapa parti komponen PH yang tidak senang dengan berita dan hasrat bekas pemimpin Umno untuk menyertai PH.

“Kalau parti komponen semua tiada masalah, semua positif, maka saya menjangkakan selepas ini lebih ramai pemimpin atau Ahli Parlimen Umno yang akan menyertai PPBM,” katanya lagi.

Bercakap di Dewan Rakyat sebelum ini, Mustapa, yang merupakan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, tidak menolak kemungkinan menyertai PH.

Mustapa meninggalkan Umno pada 18 September lalu selepas lebih 40 tahun bersama parti itu. Beliau merupakan pemimpin terkanan Umno pertama meninggalkan parti itu selepas pilihan raya umum ke-14 9 Mei lepas.

Sementara itu, seorang penganalisis politik berkata pengumuman Mustapa untuk menyertai PPBM sudah dijangka sejak dari awal lagi.

Dr Wong Chin Huat dari Penang Institute malah berkata tidak mustahil jika Mustapa turut diberikan satu jawatan penting dalam kerajaan sekiranya berlaku rombakan kabinet.

“PPBM adalah parti PH yang paling dekat dari segi ideologi dengan parti lama Tok Pa (Umno).

“Jika berlaku rombakan kabinet, tidak hairan kalau Tok Pa menjadi menteri pembangunan usahawan yang mempunyai banyak peluang untuk meningkatkan usaha kerajaan membantu golongan Bumiputera,” katanya pula.

Setiausaha Agung PPBM, Datuk Marzuki Yahya sebelum ini berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan khusus di peringkat pucuk pimpinan parti untuk memberi sebarang jawatan kepada Mustapa.