Saya akan terus bantu Kelantan walaupun dilabel tidak bermoral, kata Guan Eng

Lim berkata, beliau tidak mahu melihat penjawat awam di Kelantan tidak dibayar gaji.

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, beliau akan terus membantu kerajaan Kelantan pimpinan PAS, walupun dilabelkan tidak bermoral oleh presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata demikian berhubung kritikan dihadapinya kerana mendedahkan surat daripada kerajaan Kelantan yang memohon pendahuluam daripada Putrajaya untuk membayar gaji penjawat awamnya.

Ini berlaku selepas beliau mendakwa negeri Pantai Timur itu tidak mempunyai wang untuk membayar gaji pegawai awamnya.

“Mereka cabar saya menunjukkan bukti. Apabila saya berbuat begitu, mereka kata saya salah. Kalau saya tak tunjukkan bukti, mereka akan kata saya salah juga.

“Saya luluskan pemohonan pendahuluan itu, tetapi saya masih dimarahi,” katanya semasa merasmikan Konvensyen DAP KL 2018, di sini, hari ini.

Lim, yang juga setiausaha agung DAP berkata, Hadi menelefonnya semalam dan mengatakan beliau “tidak bermoral”, seolah-olah berdosa baginya untuk bercakap benar.

Hadi dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, tindakan Lim mendedahkan surat rasmi kerajaan Kelantan itu tidak elok dan melanggar nilai moral.

Katanya, permohonan itu bersifat rahsia dan tidak wajar didedahkan.

“Daripada segi amalan serta akhlak dan moral tidak elok buat begitu. Kita pun tak dedah rahsia dia (Guan Eng),” katanya di Masjid Rusila, Jumaat lepas.

Lim juga berkata, beliau dicop sebagai anti-Melayu dan anti-Islam oleh sesetengah pihak kerana mendedahkan surat tersebut.

“Apabila Najib Razak menjadi perdana menteri, beliau menyebut perkara yang sama, bahawa Kelantan tidak mempunyai wang untuk membayar gaji tanpa bantuan Putrajaya. Kenapa orang PAS tidak mengkritik beliau. Hadi tidak pula memanggilnya tidak bermoral.

“Takpalah, biarlah mereka kata apapun.

“Kita akan terus bantu walaupun kalau saya dihina kerana meluluskan peruntukan kerana ia berkait gaji penjawat awam. Kita tidak mahu lihat mereka tidak dibayar gaji.

Lim berkata, beliau berharap parti pembangkang berhenti memainkan sentimen perkauman dan agama, sebaliknya menggunakan fakta dan angka.

“Kita tidak berminat dengan permainan kaum dan agama, atau penipuan. Saya juga berharap rakyat Malaysia akan lebih mementingkan isu ekonomi.”

Sebelum ini, Lim mendedahkan surat daripada kerajaan Kelantan pimpinan PAS yang memohon pendahuluan sebanyak RM97 juta, tetapi kementerian hanya meluluskan RM22.5 juta.

“Saya kemukakan kepada anda bukti bahawa kerajaan Kelantan meminta pendahuluan daripada kerajaan pusat, dengan berkata sekiranya mereka tidak mendapatnya, mereka tidak berkemampuan membayar gaji.

“Surat ini menyebut kurangan wang itu bermakna mereka tidak mampu membayar sejumlah RM24.5 juta untuk gaji kakitangan, termasuk pekerja sambilan, serta bil lain,” katanya pada satu sidang media di Dewan Rakyat sebelum ini.