3 maut dirempuh kereta api di New Delhi

Kereta api merupakan rangkaian pengangkutan terbesar di India, menyediakan sebanyak 9,000 perkhidmatan selain membawa 23 juta orang penumpang setiap hari. (Gambar Reuters)

NEW DELHI: Tiga orang maut dirempuh sebuah kereta api ekspres Bikaner-Delhi di New Delhi, lapor agensi berita Xinhua.

Seorang jurucakap Northern Railways hari ini berkata, kejadian berlaku apabila ketiga-tiga mangsa menceroboh landasan kereta api berhampiran stesen Nangloi.

Sebelum ini, syarikat kereta api milik negara itu merancang memasang pagar di sepanjang landasan berikutan kemalangan pada awal bulan, menyaksikan 61 terbunuh di utara Punjab.

Menurut data antara 2015 dan 2017, kira-kira 50,000 orang maut ketika menyeberangi landasan kereta api di India.

Kereta api merupakan rangkaian pengangkutan terbesar di India, menyediakan sebanyak 9,000 perkhidmatan selain membawa 23 juta orang penumpang setiap hari.

Berikutan penggunaan infrastruktur yang ketinggalan zaman, menyebabkan banyak nahas kereta api berlaku.

Pada 2015, kerajaan India mengumumkan peruntukan sejumlah AS$137 bilion untuk menaik taraf kemudahan landasan bagi tempoh 5 tahun.