Annuar akui PPBM lamar Ahli Parlimen Umno

Annuar bagaimanapun menafikan beliau dilamar oleh PPBM.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa hari ini mengakui terdapat lamaran daripada PPBM kepada sebilangan Ahli Parlimen Umno untuk menyertai parti itu.

Kata Annuar, lamaran itu dibuat secara lansung (direct) dan terdapat juga Ahli Parlimen Umno yang dilamar menggunakan perantara.

“Ada Ahli Parlimen kita yang dipanggil berunding. Ada yang tidak dipanggil, yang dipanggil dan tidak pergi pun ada.

“Pokoknya, idea untuk memperkuatkan PPBM itu datang daripada pihak tertentu. Kita mempertimbangkan perkara itu kerana kita paham PPBM terlalu lemah dengan 13 kerusi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, ahli Majlis Tertinggi PPBM Datuk A Kadir Jasin dilaporkan berkata, kira-kira 40 Ahli Parlimen Umno mungkin meninggalkan parti itu dan menyertai PPBM kerana mereka sudah beberapa kali menemui Dr Mahathir dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kepimpinan tertinggi parti itu, secara berseorangan atau berkumpulan.

Apabila disoal sama ada beliau turut menerima lamaran daripada PPBM, Annuar menafikannya.

“Saya tidak dilamar oleh sesiapa. Saham saya tidak tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, adalah tidak penting bagi seseorang Ahli Parlimen untuk berada dalam komponen parti politik kerajaan ataupun tidak.

“Tidak kisahlah anda berada dalam kerajaan atau tidak, belum tentu dapat menjamin anda berkhidmat dan berbakti dengan baik,” katanya.