Kajian iktiraf UEC dibentang kepada Kabinet tahun depan, kata Maszlee

Maszlee berkata, kerajaan PH akan meneruskan status quo berkaitan UEC. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Laporan penuh jawatankuasa khas pengumpulan maklum balas berhubung isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu sekolah persendirian Cina (UEC) akan dibentang kepada Kabinet tahun hadapan.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, kajian itu perlu dibentang kepada Kabinet terlebih dahulu sebelum keputusan akhir dibuat berhubung pengiktirafan sijil berkenaan.

“Berkaitan ‘time frame’, kajian jawatankuasa ini akan disiapkan pada 2019 dan dibawa kepada kami sebelum dibawa kepada Kabinet untuk putuskan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Maszlee berkata demikian ketika menjawab pertayaan lisan Ahli Parlimen Padang Terap-BN, Datuk Seri Mahadzir Khalid yang meminta pihak kerajaan menjelaskan bilakah isu UEC akan dimuktamadkan.

Dalam perkembangan sama, Maszlee berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan meneruskan status quo berkaitan UEC.

“Apa yang dilakukan sebelum ini, iaitu status quo berkaitan UEC, kita teruskan. Persoalan yang timbul kini ialah pengiktirafan UEC untuk kemasukkan ke universiti.

“Ini bukan hanya janji PH, tapi juga janji Datuk Seri Najib ketika kempen dan terdapat dalam manifesto Barisan Nasional (BN), malangnya mereka lontarkannya kepada satu pihak dan kecam bila kita laksanakan usaha ini,” katanya sambil mengingatkan semua pihak tidak menjadikan UEC sebagai isu politik.

Dalam perkembangan sama Maszlee berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu adalah untuk mengumpul maklum balas daripada pelbagai pihak bagi memastikan keputusan akhir mengenai pengiktirafan UEC dapat diterima semua.

Katanya, anggota jawatankuasa itu terdiri daripada Eddin Khoo, anak pakar sejarah Tan Sri Dr Khoo Kay Kim; Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Tan Yew Sing; dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Mohamad Raimi Ab Rahim.

Maszlee berkata, 3 individu tersebut akan menjalankan kajian realistik dan objektif mengenai UEC.

Katanya, antara usaha yang dilakukan termasuklah membina persefahaman mengenai isu yang mencetuskan perdebatan itu.

“Pandangan dan makluman ini penting kerana pengumpulan fakta perlu dibuat sacara rasional dan tidak prajudis,” katanya.