Kecoh selepas Maszlee diserang isu kasut, stokin di Dewan Rakyat

Maszlee didakwa sibuk dengan isu kasut dan stokin pelajar, tetapi mengabaikan perkara lebih penting. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat gamat seketika apabila Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mendakwa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai isu lain selain membangkitkan isu stokin dan kasut.

Kenyataan Maszlee itu, yang sepatutnya menjawab pertanyaan berhubung isu sijil Peperiksaan Bersepadu sekolah persendirian Cina (UEC), menyebabkan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Said; Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah bangun dan menyindir sikap tidak profesional menteri pendidikan itu ketika sesi soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

“Ini menteri kasut ka ? Takde isu lain ka nak ketengah? Ini standard Yang Berhormat kasut,” kata Tajuddin.

Maszlee yang diasak wakil BN itu bagaimanapun tidak melayan bidasan tersebut dan meminta rakyat tidak mencontohi perbuatan Ahli Parlimen pembangkang.

“Kita kena hargai bahawa Malaysia negara demokratik. Bagi mereka yang hanya kepalanya dipenuhi dengan kasut, kita biarkan mereka.

“Kepada yang sedang menyaksikan, janganlah contohi wakil rakyat kasut seperti ini. Kita cerita 100 perkara, dia hanya ‘pick up’ satu perkara saja,” kata Maszlee.

Situasi pertikaman lidah yang berlangsung lebih 2 minit itu bagaimanapun dikawal Timbalan Speaker, Nga Kor Ming, dengan menutup pembesar suara kedua-dua belah pihak.

Sementara itu dalam soalan tambahan, Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahadzir Khalid sempat menyindir Maszlee dengan berkata beliau tidak sepatutnya melenting kerana menteri itu sendiri yang membangkitkan isu kasut sehingga ada yang menggelarnya “menteri brand kasut”.

“Simpang Renggam kesian pasal kasut ni. YB Simpang Renggam dah jadi brand kasut nak buat macam mana,” katanya.

Maszlee dalam jawapan balasnya mengucapkan terima kasih kepada Mahadzir kerana bersimpati dengan beliau.

“Saya menghargai simpati Padang Terap kepada saya, imej saya dikotorkan oleh penyokong BN sendiri,” katanya.

Isu stokin dan kasut hangat diperkatakan apabila Maszlee sebelum ini didakwa terlalu memberi perhatian kepada perkara itu, bukannya perkara yang lebih penting.

Ini berikutan pengumuman beliau pada 20 Julai lepas bahawa kerajaan sedia menimbangkan penggunaan kasut hitam di sekolah menggantikan kasut putih bagi memenuhi permintaan ibu bapa.