Kerajaan unjur kutip RM21 bilion SST, tingkat kuasa beli pengguna

Chong berkata, sejak penghapusan GST, Indeks Harga Pengguna menurun kepada 0.3% pada September tahun ini berbanding 3.6% semasa GST. (Gambar Facebook)

KUCHING: Kerajaan mengunjurkan kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak RM21 bilion setahun berbanding RM43 bilion kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen.

Beliau berkata, pengurangan kutipan cukai itu akan meningkatkan kuasa membeli pengguna dan membantu meningkatkan perniagaan runcit yang menyumbang 20% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau menyeru supaya komuniti peniaga berusaha meletakkan harga yang rendah, dengan kadar keuntungan yang sederhana dan dalam masa yang sama membesarkan perniagaan masing-masing.

Chong bagaimanapun mengaku masih ada kedai yang menjual stok barang lama dengan harga yang tinggi, tetapi menambah bahawa di bawah SST sebanyak 5,300 jenis barang dikecualikan daripada cukai berbanding hanya 500 jenis barangan di bawah GST.

“Senarai (barangan yang dikecualikan daripada cukai SST) masih akan bertambah mengikut keperluan semasa,” katanya.

Chong berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian penyewaan lot kedai di Sentosa Parade di pekan Kota Sentosa dekat sini.

Menurut Chong, inflasi kini di bawah kawalan berikutan penurunan Indeks Harga Pengguna.

Katanya, sejak penghapusan GST, Indeks Harga Pengguna telah menurun kepada 0.3% pada September tahun ini berbanding 3.6% semasa GST.

Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Sentosa memuji usaha pihak pemaju membangunkan pusat komersial di situ, yang dahulunya merupakan kawasan setinggan.