Mansuh hukuman mati perlu kajian menyeluruh, kata Norian Mai

Bekas KPN Norian Mai berkata, kajian harus mengambil kira pandangan masyarakat dan dikaji secara teliti. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Kajian menyeluruh dengan mengambil kira implikasi yang akan dihadapi perlu dilakukan oleh kerajaan berhubung cadangan memansuhkan hukuman mati mandatori, kata bekas ketua polis negara Tan Sri Norian Mai.

Beliau berkata, pemansuhan hukuman mati akan memberi pelbagai kesan, termasuk kepada masyarakat umumnya.

Norian Mai.

“Oleh itu, kajian itu juga harus mengambil kira pandangan masyarakat dan harus dikaji secara teliti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Reunion dan Makan Malam Bekas Pegawai dan Anggota Polis Daerah Brickfields di sini, malam tadi.

Pada Isnin lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata, langkah kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori mendapat maklum balas positif daripada pihak antarabangsa.

Sebelum itu, Liew turut memaklumkan kajian untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini berada pada peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri.

Lebih 200 orang bekas pegawai dan anggota polis daerah Brickfields menghadiri majlis itu.