Pakar: Bukan hanya orang miskin, intelektual juga minat gangsterisme

Pakar berkata kempen rohaniah membendung gengsterisme bermula dari rumah.

PETALING JAYA: Pakar kriminologi berpendapat kemiskinan bukan lagi punca utama berlakunya aktiviti gangsterisme di Malaysia.

Penganalisis Undang-undang dan Politik, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, latar belakang kemiskinan sudah tidak relevan lagi bagi gangsterisme.

“Kemiskinan bukan faktor utama pada zaman sekarang menyebabkan mereka terlibat dalam kegiatan gangsterisme. Sekarang, golongan berpendidikan tinggi juga berminat untuk melakukan jenayah dalam internet.

“Penglibatan mereka dalam dunia gangsterisme juga tidak berfokus kepada satu etnik sahaja. Dalam kajian krimonologi menunjukkan kegiatan gangsterisme adalah berpunca daripada pemberontakan kepada kumpulan masyarakat,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy berkata pendidikan rohaniah di peringkat pertubuhan bukan kerajaan (NGO), di kuil dan sekolah dicadangkan sebagai pendekatan menangani gangsterisme dalam kalangan masyarakat India.

Beliau berkata cadangan dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat pertama beliau dengan pemimpin dari 50 NGO Hindu dari seluruh negara yang berlangsung pada 21 Oktober lalu.

Halim menambah, pendidikan rohaniah di peringkat NGO, kuil dan sekolah itu adalah cadangan yang baik tetapi mencadangan ia lebih memfokuskan kumpulan pembuli.

Katanya, pendidikan rohaniah agak sukar untuk dilaksanakan kerana masyarakat tidak tahu bagaimana aktiviti pergaulan mereka di luar sana.

“Kemungkinan pelajar sekolah yang mempunyai masalah disiplin sudah bergaul dengan kumpulan gangster dan melakukan aktiviti jenayah,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Jenayah Kamal Affandi Hashim berkata, asas pembentukkan sahsiah bermula dari rumah.

Beliau berkata, jika terdapat kegagalan atau kejanggalan, sama ada berpunca dari persekitaran yang negatif atau kedudukan kewangan yang tidak dapat diperbaiki, maka masalah gangsterisme akan terus berkembang hingga memudaratkan sosial.

“Jika kempen ini mahu dilaksanakan di peringkat NGO, rumah ibadah atau sekolah, hendaklah fokus dahulu kepada unit yang paling mustahak di dalam rantaian masalah ini iaitu kediaman mereka.

“Saya alu-alukan perhatian yang diberi oleh menteri terhadap gangsterisme. Dalam masa yang sama, saya berharap kejujuran perlu ada dalam kalangan mereka yang akan dipertanggungjawab menjalankan rencana ini supaya wang dikeluarkan tidak akan menjadi satu pembaziran,” katanya.