Polis: Bekas menteri akan disiasat walaupun dakwaan cabul ditarik balik

Siasatan juga akan dilakukan sama ada pengadu dibayar untuk menarik balik laporan tersebut.

GEORGE TOWN: Polis berkata pihaknya akan meneruskan siasatan ke atas seorang ahli politik kanan yang juga bekas menteri yang dituduh mencabul seorang gadis berumur 15 tahun.

Dalam mesej ringkas kepada FMT, Ketua Polis Perlis, Noor Mushar Mohd berkata kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Di bawah Seksyen itu, mana-mana individu yang bertujuan melakukan seks dengan menyentuh mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran kes bagi melindungi pengadu.

Sebelum ini, Noor Mushar berkata laporan yang dibuat remaja itu di balai polis Kangar pada 20 Oktober, ditarik balik dan disebabkan itu polis tidak boleh meneruskan siasatan.

Semalam, aktivis Datuk R Sri Sanjeevan, yang mengendalikan Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch), mempersoalkan pihak polis kerana tidak menahan ahli politik terbabit, yang dikatakan seorang ahli Parlimen.

Sementara itu, peguam Farida Mohamad berkata walaupun pengadu telah menarik balik laporan yang dibuat tetapi kes itu masih boleh diteruskan sekiranya pihak timbalan pendakwaraya ingin membuat pendakwaan.

Beliau berkata polis perlu kemukakan kertas siasatan mereka kepada timbalan pendakwa raya dan dan timbalan pendakwaraya mempunyai kuasa utk mengarahkan pihak polis membuat siasatan lanjut supaya pertuduhan dapat dijalankan.

“Walaupun pengadu itu tarik balik (laporan aduan dicabul), tetapi jika timbalan pendakwa raya berpendapat bahawa terdapat unsur jenayah, timbalan pendakwa harus mengarahkan polis untuk siasat.

“Kita tidak boleh menolak kemungkinan pengadu tersebut dipengaruhi atau didorong oleh mana-mana pihak untuk menarik balik laporan polis tersebut,” katanya kepada FMT.