PPBM terima ahli Umno, bukan budaya mereka, kata Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun partinya mengamalkan dasar pintu terbuka kepada ahli-ahli Umno tetapi tidak bererti PPBM menerima budaya parti itu.

Presiden PPBM itu berkata partinya bertegas dalam perkara ini dan oleh itu ia meletakkan kriteria tertentu untuk ahli-ahli Umno yang mahu berhijrah.

“Bukan ambil ahli Umno, kita bawa budaya Umno. Kita ada dasar dan prinsip yang perlu dipertahankan. Kita nak tengok siapa sesuai. Kalau tak sesuai, tak boleh masuk,” katanya kepada pemberita di persidangan PPBM Wilayah Persekutuan di Titiwangsa malam tadi.

Muhyiddin menjawab kenyataan Pengerusi DAP Tan Kok Wai yang berkata amalan parti komponen Pakatan Harapan menerima ahli Parlimen Umno sebagai “tidak sihat”.

Pemimpin DAP berkata demikian 2 hari selepas bekas menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai PPBM selepas lebih sebulan meninggalkan Umno.

Penyertaannya mengukuhkan kedudukan PPBM di Dewan Rakyat dengan tambahan kerusi Parlimen Jeli.

“Dasar kita sesiapa pun boleh sertai, tak semestinya Ahli Parlimen. Tidak ada tempoh masa kalau berminat,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin akui ramai ahli Parlimen Umno datang bertemunya dan Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meluahkan banyak perkara.

Butiran pertemuan itu bagaimanapun tidak boleh diceritakan kepada media.

Muhyiddin juga berkata PH belum bermesyuarat membincangkan penyertaan ahli-ahli Umno itu.

“Bagi saya baik untuk PH kalau mereka jadi ahli bebas dahulu dan sokong kerajaan. Kalau selepas itu nak masuk PKR atau DAP, terpulang pada mereka,” katanya.

Baru-baru ini Ahli Majlis Tertinggi PPBM Datuk A Kadir Jasin berkata kira-kira 40 ahli Parlimen Umno dikatakan berkemungkinan akan meninggalkan parti itu dan menyertai partinya.

Beliau berkata semua mereka dikatakan berpotensi berbuat demikian kerana sudah beberapa kali berjumpa Dr Mahathir dan Muhyiddin.