Saya tak salahi peraturan pilihan raya, Anwar jawab Bersih

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin tidak melakukan sebarang kesalahan dalam kempen pilihan raya kecil Port Dickson baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun menyambut baik teguran Bersih 2.0 dan cuba menjelaskan penyertaannya dalam acara dan majlis yang ditimbulkan oleh badan pemantau pilihan raya itu.

“Saya dijemput hadir. Jadi saya taktau macam mana salah pula,” katanya kepada pemberita di perkarangan Parlimen hari ini.

Mengenai konsert percuma 2 hari anjuran Kelab Anwar Ibrahim (AIC), Pertubuhan Khidmat Kebajikan Masyarakat Madani dan Muafakat Anak Muda Port Dickson pada 5 dan 6 Oktober lalu, Anwar berkata dia tidak tahu mengapa penganjur tidak mengundang calon lain.

“Itu kena tanya penganjurlah. Kemudian isu jamuan. Saya pergi dijemput penduduk. Saya ingat minum teh sahaja tapi penganjur bagi makan jamuan. Saya makanlah,” katanya sambil menyenaraikan undang-undang lain yang dipenuhinya dalam 14 hari berkempen itu.

“Saya pergi majlis dengan masyarakat Cina dan ada 10-20 NGO taja makanan. Saya pergi. Tak sempat makan pun. Saya pergi 20 minit kemudian saya balik.”

Bersih 2.0 merekodkan 6 kes membabitkan Anwar dan 4 kes dilakukan calon PAS Lt (B) Mohd Nazari Mokhtar pada PRK Port Dickson.

Pengarah Eksekutif Jawatankuasa Pemandu Yap Swee Seng berkata, kesalahan dikesan hasil pemantauan pada hari pencalonan, sepanjang kempen pilihan raya, pengundian awal, hari mengundi dan proses pengundian.

Selain dakwaan berkenaan konsert, jamuan dan majlis makan, Bersih 2.0 dilapor mendakwa Pakatan Harapan menggunakan aset kerajaan dan acara pengurniaan anugerah kepada veteran tentera kerana Anwar satu-satunya calon yang diundang.

Anwar berkata pihaknya akan perhatikan penilaian Bersih 2.0 dan sedia berbincang mengenai memperketat peraturan-peraturan pilihan raya.

Beliau berkata Bersih 2.0 juga belum meminta penjelasannya.

“Dia bagi beberapa pemerhatian dan saya fikir patut kita teliti dan jawab dengan baik,” katanya.