Umno masuk PPBM: Ibarat ‘ular sawa dijemput ular lidi’, kata Ku Li

Ku Li berharap mereka yang keluar Umno ‘tak berpaut kepada dahan yang rapuh’.

KUALA LUMPUR: Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata tindakan ahli Parlimennya meninggalkan parti itu untuk menyertai PPBM sebagai usaha sia-sia.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li mengambarkan PPBM sebuah parti yang lemah namun menjadi destinasi kepada bekas ahli Parlimen parti itu.

“Ini cerita ular sawa dijemput masuk sarang ular lidi.

“Kita nak tahan macam mana, asalkan mereka tak berpaut kepada dahan yang rapuh,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jangkaan Ahli Majlis Tertinggi PPBM Datuk A Kadir Jasin bahawa kira-kira 40 ahli Parlimen Umno akan meninggalkan parti itu.

Ku Li bukan sekadar tidak mengetahui kebenaran dakwaan tersebut, malah berkata beliau tidak menerima “lamaran” daripada PPBM.

“Tidak tahulah, saya bukan ahli nujum (akan lompat).

“Saya tidak ada (dapat lamaran daripada parti lain), saya racun kuat, tidak berapa nak terima saya barang kali,” katanya.

Ku Li bagaimanapun tetap yakin Umno tidak akan terkubur kerana parti itu mempunyai sokongan kuat daripada akar umbi.

“Hancur macam mana Umno parti akar umbi, di mana-mana pun ada, di kampung, di ceruk rantau pun ada, di pejabat kerajaan ada, ahli perniagaan ada.

“Dekat 70 tahun bukan mudah. Ada sejarah perjuangannya berasas melawan penjajah dan sebagainya,” katanya.

Tak tahu cadangan tukar nama BN

Dalam perkembangan lain, Ku Li berkata beliau tidak dimaklumkan cadangan Datuk Seri Ahmad Zahidi yang mahu menjenamakan semula Barisan Nasional (BN) dengan nama baru.

Beliau yang juga pengerusi Majlis Penasihat Presiden Umno berkata isu penjenamaan semula BN tidak pernah dibincangkan dan hanya mengetahui perkara itu melalui media.

“Saya baru baca surat khabar, tidak ada rundingan (penjenamaan nama BN), tidak ada perkhabaran sebelum ini menyatakan nak ubah dalam BN sama ada mengadakan rundingan parti komponen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Zahid yang mahu BN dijenamakan semula dengan nama baru sebagai langkah untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15.

Presiden Umno dan pengerusi BN itu turut berharap PAS akan menyertai dan mengukuhkan gabungan baru tersebut.

Mengulas lanjut, Razaleigh berkata gabungan antara parti pembangkang merupakan langkah terbaik kerana Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan ia tidak sesuai dikuasai hanya satu kaum sahaja.

“Macam konsep kerajaan campuran seperti perikatan itu memang baik kerana tidak boleh bergantung dengan satu kaum dalam memimpin negara kita mempunyai pelbagai bangsa perkauman.

“Kita kena ambil kira semua aspek menentukan dasar dan cara menjalankan pemerintahan, tidak boleh senang-senang buat keputusan ikut selera satu pihak.

“Kita (BN) berjaya 61 tahun memerintah negara atas dasar kerjasama persefahaman,” katanya.

Mengulas mengenai desakan supaya Zahid bercuti dari jawatan presiden Umno, Ku Li berkata terpulang kepada ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk berbuat demikian.

“Itu pandangan sesetengah pihak mengikut apa yang pernah dilakukan, mengikut pemimpin yang terlibat dengan kes mahkamah selalunya berundur semasa kes sedang berjalan.

“Itu dia punya hak (berundur atau tidak),” katanya.