Umno sertai PPBM: Tiada sebab untuk curiga, kata Anwar

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tampil memberitahu dia tiada sebab untuk mencurigai PPBM susulan khabar angin tentang 40 ahli Parlimen Umno akan menyertai parti Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lama lagi.

Anwar yang disebut-sebut sebagai pengganti Dr Mahathir juga menepis cakap-cakap mengatakan penyertaan 40 ahli Parlimen itu bagi menghalangnya menjadi perdana menteri.

“Saya tiada sebab mencurigai perjanjian dan persefahaman kita,” katanya kepada pemberita di perkarangan Parlimen hari ini.

Terdahulu, Ketua Penerangan Umno Datuk Shamsul Anuar Nasarah mendakwa lebih ramai ahli Parlimen akan meninggalkan partinya bagi mengelakkan Anwar menggantikan Dr Mahahir.

Anwar bagaimanapun berterima kasih atas keprihatinan pemimpin Umno terhadap masa depan politiknya.

“Ini hanyalah tafsiran dan bacaan oleh media yang percaya ada konspirasi menjatuhkan saya pada 1998 berulang lagi,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi PPBM Datuk A Kadir Jasin dilaporkan berkata, kira-kira 40 ahli Parlimen Umno mungkin menyertai PPBM selepas beberapa kali bertemu pengerusinya, Dr Mahathir, dan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin secara berseorangan atau berkumpulan.

Kadir juga menolak dakwaan mengatakan kemasukan mereka itu cubaan untuk menghalang Anwar menjadi perdana menteri.

Ini kerana persetujuan mengenai peralihan kuasa daripada Dr Mahathir kepada Anwar dicapai sebelum pilihan raya umum 9 Mei.