Azmin: Margin saya lebih besar, jika tak berlaku undi hilang

Azmin Ali mendakwa 1,100 undi hilang dalam pemilihan PKR Bahagian Ampang dan 800 undi hilang di PKR Bahagian Gombak. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Azmin Ali mendakwa margin undi yang diperolehinya di Selangor lebih besar, jika masalah undi hilang tidak berlaku dalam pemilihan parti.

Beliau yang dalam misi mempertahankan jawatan timbalan presidennya menyalahkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR tidak menjalankan tugas dengan baik sehingga menyebabkan masalah itu timbul.

“Cuba lihat di Selangor, undi hilang dan Ampang sahaja 1,100 undi hilang. Bahagian saya sahaja 800 undi hilang.

“Anda cuba bayangkan jika undi ini ada, pastinya margin saya lebih besar dari apa yang saya perolehi, tetapi biarkan mereka membuat keputusan dan siasat,” katanya selepas menutup Sidang Kemuncak Anti-rasuah hari ini.

Kelmarin, Ketua Koordinator PKR Selangor, Hassan Yusof dipetik Bernama berkata, undi terkumpul Azmin ialah 18,453 undi berbanding pencabarnya, Rafizi Ramli yang mendapat 15,045 undi, selepas 21 bahagian PKR Selangor mengadakan pemilihan sehingga Ahad lalu.

Hanya bahagian Kuala Selangor yang terpaksa menangguhkan pengundian selepas polis mengesahkan “Jammer” menghalang isyarat internet ditemui di ruang tempat duduk Stadium Tertutup Kuala Selangor yang merupakan lokasi pemilihan bahagian itu.

Azmin kini mendahului Rafizi dengan majoriti 1,647 undi, selepas 12 negeri, kecuali Kuala Selangor, Sabah dan Sarawak yang belum mengadakan pemilihan.

Keputusan tidak rasmi itu juga tidak termasuk hasil pengundian di 6 cawangan Melaka dan Negeri Sembilan, ekoran isu undi hilang.

Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi yakin mampu menewaskan Rafizi dalam perebutan jawatan nombor 2 itu kerana bahagian Kuala Selangor, Sabah dan Sarawak belum mengadakan pemilihan.

“Insya Allah, saya percaya kepada kebijaksanaan ahli parti kerana mereka telah berhempas pulas hampir 2 dekad.

“Mereka telah lihat saya dalam tindakan, saya percaya mereka akan terus menyokong kepimpinan saya bagi menguatkan parti pada masa depan.”

Azmin berkata, JPP perlu bertindak sebagai badan bebas untuk mengendalikan pemilihan PKR secara telus dan adil, serta menyiasat aduan berkaitan rasuah.

“JPP tidak boleh dipengaruhi tekanan politik daripada mana-mana pemimpin dan mesti menyiasat aduan ini secara telus.

“Sekiranya ada yang mempunyai bukti-bukti yang kuat, harus kemukakan bukti ini untuk JPP menyiasat aduan tersebut.”