Hukuman mati: Bekas hakim beri amaran salah dakwa boleh berlaku

Jagjit Singh. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang hakim bersara memberi amaran berhubung risiko pelaksanaan hukuman mati terhadap mereka yang tidak bersalah adalah serius.

Datuk Jagjit Singh, bekas hakim Mahkamah Sesyen, berkata kesilapan boleh dibuat oleh mahkamah, yang membawa kepada kesan yang tidak dapat ditarik balik.

“Risiko pelaksanaan terhadap orang yang tidak bersalah sangat serius. Kita perlu memikirkannya.

“Adakah kita mempunyai pegawai penguatkuasa, penyiasat dan pendakwa yang jujur, amanah, bertanggungjawab dan berwibawa?” katanya dalam satu ceramah mengenai hukuman mati di Gereja St Ignatius, malam tadi.

Beliau memberi contoh pengalamannya sendiri sebagai timbalan pendakwa raya 25 tahun yang lalu, ketika beliau dan hakim bersara, Datuk Mah Weng Kwai berada di pihak bertentangan di mahkamah.

Jagjit berkata terdapat seorang individu didakwa mengedar dadah, satu kesalahan yang boleh dihukum mati. Bagaimanapun Mah mempertahankannya.

Jagjit berkata beliau dan Mah berhujah di depan hakim Mahkamah Tinggi Tan Sri Nik Hashim Nik Abdul Rahman. Di kandang saksi adalah pegawai kanan polis dengan pangkat ASP.

Jagjit mengingati kesaksian pegawai yang membuat serbuan bahawa dia membuat pernyataan beramaran, dan suspek mengaku mengedar dadah tersebut.

“Ia dalam laporan polis,” katanya. “Kes itu tidak dapat dipertikaikan. Tertuduh akan dihukum mati jika Mah tidak membelanya.”

Semasa pemeriksaan balas pegawai tersebut, Jagjit berkata, Mah meminta ASP itu membacakan pernyataan beramaran tersebut. Pegawai itu menjawab dia tidak ingat tetapi dia menulisnya di atas kertas.

Ketika diminta untuk menunjukkan kertas itu, pegawai itu mengambil dompetnya dan menunjukkan sehelai kertas yang terperangkap di kad telefonnya.

“Mah mengambil kertas itu dan membalikkannya ke sana dan ke sini. Saya memerhati dia, cuba menyelidik apa yang dilakukannya,” kata Jagjit.

Katanya, Mah menekan pegawai itu berhubung pernyataan beramaran itu, menunjukkan pegawai itu tidak membacanya kepada suspek dan kertas itu tidak wujud pada masa penangkapannya.

Pegawai itu tidak bersetuju dengan kedua-dua tuduhan tersebut, tambahnya.

“Kemudian Mah berkata, ‘Pegawai, tarik kertas dari kad itu.’ Dan benar, kad itu adalah kad telefon bola sepak Piala Dunia yang tidak wujud pada masa penangkapan tertuduh.

“Jika tidak kerana Mah, kehidupan mereka yang tidak bersalah akan hilang,” katanya. “Bolehkah kita menggantikan kehidupan kita, kehidupan anak-anak dan saudara-mara kita, di tangan pegawai penguatkuasa yang digelar berdedikasi dan berkomitmen tinggi?”

Dua puluh tahun kemudian, Jagjit berkata, Mah menjadi hakim Mahkamah Rayuan. Hampir setiap minggu, terdapat kes pengedaran dadah dan pembunuhan yang membawa hukuman mati mandatori.

Lain-lain kesalahan umum yang boleh dihukum mati termasuklah khianat, menentang Raja-raja Melayu dan memiliki senjata api.

Menyedari terdapat 1,267 orang pada masa ini sedang menunggu hukuman mati, Jagjit mempersoal sejauh mana hukuman mati berkesan dalam menghalang kesalahan tersebut.

“Tiada data menunjukkan ia berfungsi sebagai penghalang yang berkesan,” katanya. “Tidak ada pengurangan yang ketara dalam bilangan jenayah, terutama kes bunuh dan pengedaran dadah.”

Beliau memberi contoh hukuman mati berprofil tinggi, termasuk Botak Chin (rompakan bersenjata), Mona Fandey (pembunuhan) dan anggota kumpulan militan Al-Ma’unah yang didakwa dan disabitkan dengan menentang Raja-raja Melayu.

“Adakah hukuman mati menjadi penghalang? Jawapannya adalah tidak.

“Masih ada kes pembunuhan Altantuya. Di manakah penghalangnya? ”

Beliau memberi contoh satu lagi kes dikendalikannya sebagai peguam pada 2015 melibatkan 2 beradik, berusia 19 dan 21 tahun, di Johor Bahru yang dituduh mengedar dadah.

Katanya, polis mendakwa mereka dapat melihat salah seorang gadis itu meletakkan paket dadah di dalam peti sejuk yang sebenarnya mustahil kerana tingkap itu berwarna gelap.

Remaja perempuan itu akhirnya dibebaskan tanpa perlu menghabiskan 2 tahun di bawah tahanan reman atas tuduhan mengedar dadah, katanya.

Menteri Undang-undang De facto Datuk Liew Vui Keong mengatakan pindaan untuk memansuhkan hukuman mati akan dibentangkan pada sidang Parlimen.

Di bawah pemansuhan yang dicadangkan itu, beliau berkata, tahanan yang sedang menunggu hukuman mati akan menjalani hukuman penjara seumur hidup selama 30 tahun.