Nahas Lion Air: Operasi SAR temui cebisan mayat

Operasi SAR masih meneruskan pencarian di laut. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Indonesia berhubung nahas pesawat penumpang Lion Air yang terhempas ke laut menemukan cebisan badan manusia, barangan mangsa dan serpihan pesawat.

“Ada serpihan pesawat, pelampung, telefon bimbit dan beberapa cebisan tubuh,” kata Ketua SAR, M Syaugi memetik laporan Kompas.com.

Menurut Syaugi, penemuan serpihan dan cebisan mayat itu berjarak kira-kira 2 batu nautika dari titik koordinat yang diberi menara kawalan trafik udara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Semalam dilaporkan pesawat Boeing 737 MAX 8, jatuh terhempas ke laut semasa melakukan penerbangan dari Jakarta ke Pangkal Pinang, Sumatra.

Pesawat tersebut terputus hubungan 13 minit selepas berlepas yang mengorbankan 189 penumpang dan anak kapal.