Putrajaya masih kaji cadangan bina jambatan bengkok

Kerajaan turut mengkaji cadangan menaiktaraf Tambak Johor sebagai alternatif pembinaan jambatan bengkok.

KUALA LUMPUR: Cadangan pembinaan Jambatan Indah atau “jambatan bengkok” masih diteliti kerajaan sehingga kini, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Beliau berkata pembinaan jambatan berkenaan bagi menggantikan Tambak Johor akan melibatkan kos tinggi, implikasi sosio-ekonomi dan politik serta hubungan antarabangsa.

“Justeru, kementerian akan rujuk kepada jemaah menteri bagi mendapatkan pandangan dan hala tuju pelaksanaan projek ini,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ir Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang ingin tahu justifikasi pembinaan “jambatan bengkok”.

Mengenai soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai sama ada kerajaan akan menaiktaraf Tambak Johor sebagai alternatif kepada pembinaan “jambatan bengkok” bagi menangani isu kesesakan di Tambak Johor, Baru berkata ia akan turut dikaji.