Tegakkan keadilan, dedah perjanjian 1MDB-IPIC, kata Najib

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini mendesak kerajaan mendedahkan perjanjian penyelesaian antara 1MDB dan International Petroleum Investment Company (Ipic) pada 2015 dan 2017, mengatakan dokumen itu akan menegakkan keadilan untuknya.

Bekas perdana menteri mengingatkan dia beberapa kali mendesak kerajaan mendedahkan dokumen tersebut jika ia benar-benar mahu menegakkan keadilan untuk rakyat dan dirinya.

“Tetapi kerajaan Pakatan Harapan masih lagi membisu. Kenapa?” katanya di Facebook.

Kerajaan hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi London untuk mencabar keputusan timbang tara antara 1MDB dan Ipic untuk mengecualikan kerajaan membayar baki AS$4.3 bilion dalam perjanjian penyelesaian yang dicapai Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London tahun lalu.

Peguam Negara Tommy Thomas berkata asas cabaran itu adalah “award” persetujuan tersebut telah diperoleh secara penipuan ataupun dengan cara yang bertentangan dengan polisi umum.

Berdasarkan persetujuan itu, Malaysia bersetuju membayar AS$5.78 bilion dalam 5 tahun kepada syarikat milik kerajaan Abu Dhabi itu.

Setakat ini, kerajaan sudah membayar AS$1.46 bilion dengan ansuran faedah berikutnya sebanyak AS$50 juta perlu dibayar pada 11 November ini.

Najib bagaimanapun berkata kenyataan kerajaan mengenai perjanjian dengan Ipic cuba membina persepsi seolah-seolah dia hendak menipu AS$5.78 bilion wang rakyat untuk membayar Abu Dhabi.

“Ini tidak benar sama sekali,” katanya.