Tiada niat sentuh gadis itu, kata ahli Parlimen

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen yang dikaitkan dengan tuduhan mencabul seorang gadis berusia 15 tahun berkata dia tiada niat untuk menyentuh remaja itu, lapor Harian Metro.

Wakil rakyat itu mendakwa kejadian tersebut salah faham antara mereka.

“Saya sudah kenal mereka lama, sudah hampir dua tahun dan kejadian yang kononnya ‘cabul’ itu bukan berlaku di tempat sunyi, tetapi di khalayak ramai,” katanya.

Beliau enggan mengulas panjang perkara itu kerana ia masih dalam siasatan polis.

“Mereka kata saya sogok, saya pun tak tahu keluarga mangsa tarik balik laporan polis yang dibuat sehingga mereka sendiri maklumkan kepada saya,” katanya.

Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohd hari ini berkata siasatan terhadap seorang ahli politik kanan yang juga bekas menteri yang dituduh mencabul seorang gadis berusia 15 tahun diteruskan walaupun laporan yang dibuat remaja itu pada 20 Oktober lepas ditarik balik.

Kes itu disiasat bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak.

Di bawah Seksyen itu, mana-mana individu yang bertujuan melakukan seks dengan menyentuh mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000.

Semalam, aktivis Datuk R Sri Sanjeevan, yang mengendalikan Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch), mempersoalkan pihak polis kerana tidak menahan ahli politik terbabit, yang dikatakan seorang ahli Parlimen.