Bajet 2019: Kerajaan mungkin belanja RM15 bilion untuk pertahanan

Bajet terhadap sektor pertahanan tidak dapat tumpuan segera kerajaan PH. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang penganalisis pertahanan bebas menjangkakan kerajaan akan membelanjakan RM15 bilion untuk sektor pertahanan dalam Bajet 2019 yang akan diumumkan, Jumaat ini.

Jumlah itu mengalami peningkatan sedikit berbanding Bajet 2018 yang memperuntukkan lebih RM14 bilion untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bekas penyelidik kanan Institut Kajian Kemajuan Sosial (Refsa), Lam Choong Wah berpendapat, walaupun mengalami peningkatan sedikit, tetapi kerajaan kini dalam melaksanakan dasar ekonomi yang tidak mengalakkan perbelanjaan.

“Tumpuan kerajaan sekarang adalah mengurangkan hutang negara dan menyemak dasar-dasar ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional dulu.

“Maka perbelanjaan terhadap sektor pertahanan yang dianggap tidak membawa produktif tidak dapat tumpuan segera bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Dalam Bajet 2018 tahun lalu, kerajaan memperuntukkan lebih RM14 bilion untuk ATM.

Lam turut mengulas mengenai kenyataan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang sebelum ini berkata keupayaan pertahanan negara tidak memuaskan berbanding negara jiran lain dan kesiapsiagaan jet pejuang kurang memuaskan.

“Pada pendapat saya, pendedahan menteri pertahanan ini bukan bertujuan mendedah kelemahan ATM, tetapi bertujuan mendapat perhatian daripada kerajaan PH dan orang awam bahawa ATM memerlukan peruntukan yang lebih banyak untuk meningkatkan kesiapsagaan dan menambah kekuatan ATM.

“Bagaimanapun, usaha menteri pertahanan ini adalah tertakluk kepada kemampuan ekonomi negara dan tumpuan kerajaan semasa pada tahun ini,” katanya.

Lam menambah, rancangan pembangunan Capability Development 55 (CAP 55) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Program Transformasi “15 to 5″ Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) boleh dilaksanakan mengikut peringkat dan kemampuan ekonomi negara.

Beliau berkata, ini disebabkan Malaysia tidak mengalami ancaman luar yang memerlukan perhatian dan tindakan segera.

“Pada masa yang sama, tahap operasi dan latihan ATM mesti dikekal dan dibekalkan dengan peruntukan yang cukup.”

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan membatalkan projek Malaysian Defence and Security Technology Park (MDSTP) bagi menjimatkan perbelanjaan pertahanan.

“Memandangkan projek ini menelan berpuluh juta ringgit tetapi tidak mendatangkan manfaat yang dijanjikan, malah ia hanya tumpu pada pembangunan ‘real estate’ tetapi bukan teknologi pertahanan, maka membatalkan projek ini adalah wajar dan munasabah.

“Pembatalan projek ini akan dapat menjimatkan wang peruntukan pertahanan,” katanya.