Lelaki ini bangunkan tanah rizab Melayu kepada hartanah mewah

Dari lokasi penulis berdiri, jelas kelihatan puncak menara berkembar tertinggi di dunia, Menara Berkembar Petronas (KLCC), mendominasi landskap panorama ibu negara Malaysia.

Namun, pandangan saya beralih ke sebuah mercu tanda baru yang terletak berhampiran Masjid Jamek Kampung Baru.

Ia adalah Hotel Tamu & Suites.

Hotel setinggi 42 tingkat itu, yang terletak di persimpangan jalan antara Jalan Raja Abdullah dan Jalan Raja Alang, pastinya menjadi kebanggaan penduduk Kampung Baru, penempatan yang dibangunkan sejak 118 tahun lalu.

Kampung Baru adalah antara kawasan penempatan orang Melayu yang masih unggul di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sejak mula beroperasi pada Februari lalu, Hotel Tamu & Suites yang bertaraf 4 bintang dan mempunyai 276 bilik dan suite dilaporkan mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan pelancong luar negara termasuk China, Eropah, Asia Barat dan Asia Tenggara.

Nilai tinggi

Terletak hanya 2km dari KLCC, Hotel Tamu & Suites ini dimajukan oleh sebuah syarikat Bumiputera, Zikay Group of Companies, yang terlibat dalam pelbagai aktiviti perniagaan termasuk hartanah, pembinaan, perkhidmatan kewangan, pendidikan dan hospitaliti.

Pemiliknya, Datuk Mohd Khay Ibrahim, berkata beliau pada mulanya hanya mahu membina sebuah bangunan bagi operasi syarikatnya di satu lot bekas tapak bangunan Wisma Dagang di Jalan Raja Alang. Bangunan yang siap dibina itu dinamakan Bangunan Zikay.

Bagaimanapun, beliau kemudian memutuskan untuk membeli sebidang tanah lagi yang terletak bersebelahan Bangunan Zikay untuk dimajukan selepas diyakinkan oleh seorang rakannya yang berkunjung ke pejabatnya.

“Rakan saya dari luar negara itu melihat pemandangan dari tingkat 9 Bangunan Zikay dan memberitahu saya mempunyai bangunan yang hebat terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur,” katanya.

Mendengarkan kata-kata rakannya itu membuatkan beliau terfikir untuk membina sebuah lagi bangunan dan kebetulan pula, terdapat sebidang tanah kosong di sebelah Bangunan Zikay.

Mohd Khay, yang juga anak jati Kampung Baru, berjaya membeli tanah seluas kira-kira 0.8 hektar itu yang dimiliki 6 beradik. Dan, 8 tahun kemudian, beliau berjaya membangunkan Hotel Tamu & Suites.

Tanah di mana hotel berkenaan didirikan berstatus ‘Penempatan Pertanian Melayu’ yang setaraf Tanah Rizab Melayu.

Pembinaan hotel itu jelas membuktikan tanah pegangan Melayu boleh dibangunkan menjadi hartanah yangh bernilai tinggi.

Semangat kental

“Pada mulanya, ada yang kata saya tak waras. Siapa nak percaya orang Melayu boleh dirikan bangunan bukan 10 atau 20 tingkat tetapi 42 tingkat. Ada juga yang tak percaya projek saya ini boleh siap,” katanya yang berpengalaman 30 tahun dalam bidang pembangunan hartanah.

Beliau berkata apabila Hotel Tamu & Suites siap dibina, nilai hartanah di situ meningkat sebanyak 50%.

Mohd Khay bagaimanapun mengakui sukar untuk membangunkan tanah rizab atau pegangan Melayu kerana ia dinilai lebih rendah berbanding tanah pegangan bebas atas alasan kuasa membeli orang Melayu tidak utuh walaupun populasi mereka adalah yang paling ramai di negara ini.

Namun, beliau menguatkan semangat dan bertekad untuk melaksanakan projek itu dengan prancangan serta strategi tertentu.

“Saya melihat konsep untuk membangunkan tanah rizab Melayu, sebagai contoh Kampung Baru, adalah lebih kepada pemegangan aset dan penyewaan,” katanya.

Beliau memberi contoh antara pembangunan yang sesuai dijalankan di situ adalah bangunan pejabat yang boleh disewa bukan sahaja kepada syarikat tempatan malah syarikat antarabangsa.

“Apa yang penting perlu ada ‘perubahan paradgima’ dari segi pemikiran dan kena ada kesedaran.

“Jangan anggap tanah ini sebagai sesuatu yang tak boleh dikembangkan lagi. Ia sebenarnya adalah aset untuk dibangunkan,” tegasnya.

Usaha sendiri

Mohd Khay turut menasihatkan pihak yang berminat membangunkan Tanah Rizab Melayu supaya tidak terlalu bergantung kepada kerajaan.

Kerajaan hanya berfungsi sebagai badan yang membantu atau mempermudahkan proses seperti pendaftaran, mendapatkan kelulusan dan urusan rasmi yang lain.

“Kesungguhan itu ada pada kita sendiri, kita yang kena kerja kuat. Jika hendak buat pinjaman, misalnya, kajian kebolehlaksanaan kita mestilah sempura,” katanya sambil memberitahu seseorang itu harus berani keluar dari zon selesa jika mahu berjaya.

“Apa yang saya lihat, ada pemilik tanah rizab tidak mahu keluar dari zon selesa mereka. Mungkin mereka tidak mahu lagi pening memikirkan hutang bank dan sebagainya.

“Tetapi, sebenarnya mereka tidak sedar. Jika tanah mereka dibangunkan, keuntungannya boleh mencecah ratusan juta ringgit,” jelasnya.

Mohd Khay memberitahu beliau sememangnya berhasrat untuk membangunkan lagi tanah di Kampung Baru tetapi setelah perniagaan Hotel Tamu & Suites kukuh.

Beliau turut berharap hotel berkenaan akan menjadi contoh serta motivasi kepada pihak lain supaya berani membangunkan Tanah Rizab Melayu.

Berpegang kepada asas Islam

Di kala ramai yang takut untuk menentang arus globalisasi yang banyak mempromosi budaya bertentangan ajaran Islam, Mohd Khay membuktikan berpegang kepada asas Islam merupakan langkah yang terbaik.

Beliau memilih untuk mewujudkan jenama hotel tersendiri daripada mengambil jenama hotel antarabangsa yang sudah popular kerana tidak mahu terikat dengan piawaian yang ditentukan pihak berkenaan.

“Kita tidak mahu ada benda-benda syubhah di sini (hotel). Secara tak langsung juga kita memberi pilihan pada mereka yang bekerja dalam industri perhotelan, untuk memilih tempat kerja yang mesra syariah,” katanya sambil menjelaskan usaha yang dibuatnya itu adalah fardhu kifayah yang perlu beliau laksanakan sebagai seorang Muslim.

Menyifatkan dirinya sebagai fundamentalis Muslim, beliau percaya hanya dengan kembali kepada ajaran Islam seseorang itu boleh berjaya.

Mohd Khay turut menerapkan prinsip kehidupannya itu kepada keluarga dan para pekerjanya.

Dengan mempunyai 5 cahaya mata terdiri daripada 3 lelaki dan 2 perempuan, beliau memastikan kesemua anak lelakinya menghafal Al-Quran dan mempelajari ilmu agama dengan mendalam.

Selain itu, beliau melaksanakan amalan membaca Al-Quran dan terjemahan di syarikatnya pada setiap pagi, sejak berbelas tahun dahulu.

“Jika kita lihat sejarah kegemilangan Islam ia adalah semasa di zaman Rasulullah, zaman sahabat dan zaman pemerintahan khalifah di mana mereka amat berpegang kepada ajaran agama. Jadi, kenapa kita (Muslim) sekarang mahu lari daripada Islam?” soalnya.