Shahidan: Tak adil siar laporan cabul selepas ia ditarik balik

Shahidan Kassim ditemani peguamnya, Thalia Rohaina Abdul Latiff mengadakan sidang media di lobi Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR: Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim pertama kali tampil mengaku beliau ialah individu dalam siasatan polis ke atas satu kes cabul, susulan laporan difailkan seorang gadis berusia 15 tahun yang kemudiannya ditarik balik.

Ahli Parlimen Arau itu membaca kenyataan yang disediakan kepada media, sambil ditemani peguamnya, Thalia Rohaina Abdul Latiff di lobi Parlimen hari ini.

Bekas menteri besar Perlis itu bagaimanapun mempersoalkan media yang menyiarkan laporan polis dibuat di Kangar pada 21 Oktober lalu, sebelum ditarik balik keluarga gadis itu.

“Saya telah beri kerjasama baik kepada pihak polis dan berharap pihak media tidak panjangkan perkara ini kerana menjejaskan maruah anak perempuan tersebut. Anak perempuan ini mempunyai masa depan dan harus diberi perlindungan.

“Jadi, tolong berlaku adil kepada keluarga itu. Laporan itu sudah ditarik balik.”

Shahidan turut menafikan spekulasi beliau membayar keluarga gadis itu untuk menarik balik laporan mereka kerana beliau tidak tahu mereka berbuat demikian sehingga dimaklumkan keluarga terbabit.

“Saya tidak mengambil hati kerana kami telah bermaaf-maafan kerana saya pasti keluarga anak perempuan tersebut memahami saya yang menganggap anak-anak busking ini semua sebagai anak-anak dan cucu-cucu saya sendiri.”

Polis berkata, mereka akan menyiasat aduan itu di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, walaupun laporan sudah ditarik balik.

Semalam, Ketua Polis Perlis, Noor Mushar Mohd mendedahkan Shahidan meminta gadis itu – seorang penyanyi dalam sebuah kumpulan busker – menemuinya dalam kenderaan Toyota Harrier untuk “berbual”.

Katanya, ahli Parlimen dan remaja itu bersendirian dalam kenderaan ketika kejadian berlaku.

Menurut laporan polis gadis itu, Mushar berkata, ahli Parlimen itu tiba-tiba menyentuh tangan dan bahunya yang segera ditepis gadis berkenaan.

“Dia segera meninggalkan kenderaan itu. Sebaik sahaja keluar, dia menangis, disaksikan guru yang membawanya bertemu ahli Parlimen itu. Gadis itu pernah bertemu ahli Parlimen itu sebelum ini,” katanya semalam.