SPR: 32 parti politik setuju cadangan 18 tahun layak undi

Azhar Harun berkata, SPR memerlukan sedikit masa untuk melaksanakan cadangan itu kerana ia membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

PUTRAJAYA: Sebanyak 32 parti politik berdaftar di negara ini bersetuju dengan cadangan menurunkan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Harun.

Beliau berkata, parti politik itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 51 parti politik berdaftar yang menghantar wakil mereka dalam mesyuarat dengan SPR mengenai urusan pendaftaran pemilih yang julung kali diadakan hari ini.

“Tiada bantahan (daripada parti politik) terhadap cadangan tersebut,” katanya selepas mesyuarat itu di ibu pejabat SPR di sini.

Pada 19 September lalu, Kabinet bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun dan usul itu dijangka dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat November ini.

Azhar berkata, semua parti politik yang hadir turut bersetuju terhadap cadangan pendaftaran automatik, namun mereka meminta SPR mengkaji proses dan kesannya terhadap pengundi.

“Ini kerana, pendaftaran automatik akan ikut alamat kad pengenalan, jadi pengundi itu tidak boleh lagi balik Kelantan atau balik Klang mengundi. Itu saya rasa memerlukan pemahaman polisi, tetapi dari segi dasarnya cadangan ini mendapat sokongan.”

Mengenai tempoh 2 cadangan itu boleh dilaksanakan, Azhar berkata, SPR memerlukan sedikit masa memandangkan ia melibatkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai gesaan supaya SPR melaksanakan persempadanan semula pilihan raya susulan bantahan terhadap proses yang dibuat tahun lalu, beliau berkata, ia hanya boleh dilaksanakan sekali dalam 8 tahun seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, SPR akan membuat analisis terhadap proses persempadanan semula bagi melihat sama ada ia dilaksanakan secara adil dan mengikut undang-undang.

“Kemudian jika didapati ia tidak adil atau tidak mengikut perlembagaan, saya ingin membuat cadangan tentang bagaimana ia sepatutnya dilakukan,” katanya sambil menambah sebuah jawatankuasa perlu ditubuhkan bagi mendapatkan pandangan, terutamanya ahli akademik dan ahli statistik.

Menurutnya, wakil parti politik terlibat turut meminta SPR mengecualikan bayaran bantahan terhadap Rang Daftar Pemilih RM10 bagi setiap bantahan dan RM100 jika bantahan ditolak.

“Kadar bayaran itu perlu pertimbangan mendalam kerana kita perlu mencapai keseimbangan antara bantahan yang benar dan tidak benar,” katanya.

Azhar berkata, isu lain yang turut dibincangkan ialah usaha pembersihan daftar pemilih, cadangan pelantikan penolong pendaftar pemilih daripada wakil parti politik diwujudkan semula, cadangan pendaftaran pemilih secara dalam talian, pendaftaran pemilih yang ramai di satu alamat, pengundi hantu dan pengundi berumur 100 tahun ke atas.

Dalam pada itu, Azhar mengesahkan SPR menerima laporan Bersih 2.0 berkaitan salah laku calon pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson baru-baru ini dan akan meneliti laporan tersebut.

Pengarah Eksekutif Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Yap Swee Seng, dilaporkan sebagai berkata calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim merekodkan 6 kesalahan, manakala calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar membuat 4 kesalahan sepanjang PRK itu.