
KUALA LUMPUR: Menteri air, tanah dan sumber asli mengumumkan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dilantik mengetuai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), berkuat kuasa serta-merta.
Dr Xavier Jayakumar berkata, pelantikan Charles selama 2 tahun itu bermulai hari ini sehingga 31 Oktober 2020.
“Pengerusi terdahulu meletak jawatan selepas pilihan raya umum ke-14. Jadi, dengan kuasa yang dimiliki menteri melalui kementerian, maka saya umumkan Charles sebagai pengerusi SPAN yang baru,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.
Xavier berkata, kementeriannya sedang menilai dan menapis beberapa nama untuk mengisi 2 kekosongan dalam SPAN.
Mengenai ahli jawatankuasa SPAN yang dilantik atas dasar politik pada zaman pentadbiran Barisan Nasional, Xavier berkata, beliau menyedari perkara itu.
“Mereka ini seharusnya berani untuk meletakkan jawatan kerana kerajaan Pakatan Harapan sudah memutuskan akan menggantikan lantikan politik yang dibuat ketika pentadbiran kerajaan BN.”
Sementara itu, Charles berikrar melakukan perubahan ke atas industri air negara.
“Saya agak arif dengan industri air dan agak arif dengan sesetengah pemain dalam industri. Saya akan berusaha untuk lakukan beberapa perubahan.”