Justo nafi dipaksa polis buat pengakuan Najib PM terbaik

Xavier Andre Justo berkata, beliau yakin apa yang saya katakan hanya mengenai Paul Finnegan dan polis Thailand.

PETALING JAYA: Bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo menafikan beliau pernah memberitahu media yang polis Malaysia memintanya membuat pengakuan terbuka Datuk Seri Najib Razak ialah perdana menteri terbaik.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, hari ini, yang menyangkal dakwaan polis pernah memintanya berbuat demikian pada 2015.

“Saya mahu menjelaskan saya pasti yang saya tidak pernah berkata demikian,” tulisnya di Facebook.

Beliau mengulangi penjelasannya terdahulu yang bekas anggota polis United Kingdom, Paul Finnegan dan polis Thailand yang memberinya soalan daripada polis Malaysia serta mahu beliau membuat kenyataan mengenai Najib.

“Saya belum periksa perkataan-perkataan yang saya gunakan dalam sidang media yang saya sepatutnya beritahu itu, tetapi saya agak yakin apa yang saya katakan ialah mengenai Paul Finnegan dan polis Thailand, bukannya polis Malaysia,” kata warga Switzerland itu.

Beliau turut memohon maaf jika pernah membuat kesilapan.

“Jika saya tersilap, sila terima permohonan maaf saya. Saya manusia biasa dan bahasa Inggeris ialah bahasa ke-3 saya. Juga, saya bercakap di depan 1,000 orang di bawah tekanan besar.

“Jika saya betul dan tidak berkata demikian, maka ia adalah kesilapan akhbar. Saya menghormati negara dan undang-undang anda, serta saya tidak cuba mengganggunya.”

Terdahulu, Amar dilaporkan berkata, 57 soalan yang mereka tanya Justo di Bangkok memfokuskan 5 isu, iaitu latar belakangnya, PetroSaudi, Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown, keselamatan negara dan rundingan bagi mendapatkan maklumat serta dokumen.

Katanya, polis Malaysia tidak pernah meminta Justo membuat pengakuan Najib ialah perdana menteri terbaik dan kenyataan Justo yang dalam simpanan polis, tidak menunjukkan beliau bercakap demikian.

“Jelas sekali, dapat dilihat soalan itu yang dikatakan ditanya oleh kami tiada kaitan sama sekali dengan siasatan. Justeru, adalah bodoh bagi kami untuk bertanyakan soalan seperti itu.

“Tahap profesionalisme Polis Diraja Malaysia lebih daripada itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 15 Disember 2015, Amar bersama 2 lagi pegawai polis Malaysia ke Penjara Reman Bangkok, Thailand, untuk mendapatkan kenyataan Justo menerusi bantuan perundangan bersama dalam kes jenayah.

Justo ditahan di rumahnya di Pulau Koh Samui, pada 22 Jun 2015, selepas pegawai PetroSaudi memfailkan aduan beliau cuba memeras ugut syarikat itu 2.5 juta Swiss francs (RM11 juta) berhubung dokumen dicuri daripada syarikat terbabit.

Justo kemudiannya diberikan pengampunan oleh Raja Thailand pada Disember 2016.