Kerajaan tidak tunduk desakan haramkan Grab, kata Loke

Loke berkata, kerajaan mahu menggalakkan pemandu teksi guna aplikasi e-hailing, sama ada syarikat Grab atau syarikat lain.

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan kerajaan tidak akan tunduk terhadap desakan pemandu teksi yang mahu perkhidmatan syarikat e-hailing yang menggunakan kereta persendirian, khususnya Grab diharamkan.

Menurut beliau, kerajaan peka dengan permasalahan melibatkan pemandu teksi, namun isu itu perlu dilihat dengan lebih menyeluruh, bukan hanya menerusi pandangan pemandu teksi malah perlu dilihat daripada perspektif penumpang.

Katanya, kementerian telah merangka formula menang-menang untuk menjaga kebajikan pemandu teksi dan pemandu yang menggunakan perkhidmatan syarikat e-panggilan.

“Hala tuju kita, kita nak menggalakkan pemandu teksi guna aplikasi e-hailing, sama ada syarikat Grab atau syarikat lain, bukan nak fokus kepada Grab saja, ada 20 hingga 30 syarikat e-hailing di negara ini, ada banyak lagi pilihan.

“Yang penting, kita nak yakinkan pemandu teksi, kalau kita tak gunakan aplikasi teknologi baru, kita akan ketinggalan.

Kita nak bantu, bukan nak memangsakan pemandu teksi, tapi kalau ikut permintaan sebahagian pemandu teksi yang mahu kerajaan haramkan e-hailing, haramkan Grab, maka pada hari yang sama orang ramai juga akan adakan demonstrasi membantah keputusan itu,” katanya ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeriannya, malam tadi.

Mengenai kadar komisyen tinggi dikenakan syarikat e-hailing, Loke berkata, dalam dasar baru, kerajaan menetapkan had komisyen pemandu kereta persendirian yang boleh dikenakan syarikat e-panggilan diturunkan kepada 20% dan bukan lagi 25%, manakala bagi pemandu teksi komisyen yang dikenakan syarikat e-hailing dihadkan kepada 10%.

Beliau juga meminta Ahli Parlimen menggunakan peruntukan di kawasan Parlimen masing-masing, untuk bersama-sama membantu persatuan pemandu teksi menggunakan telefon pintar bagi membolehkan mereka menggunakan teknologi e-panggilan.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata, kerja penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu, Kelantan melibatkan pembesaran bangunan sedia ada bagi membolehkannya menampung kapasiti penumpang daripada 1.5 juta kepada 4 juta dijadual bermula pada 2020 melalui tender terbuka.

Bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang katanya, kerajaan masih meneliti beberapa opsyen untuk meningkatkan kapasitinya daripada 6.5 juta penumpang setahun kepada 12 juta.

“Jumlah penumpang dikendalikan LTAPP pada tahun 2017 mencapai sebanyak 7.2 juta penumpang iaitu 111% daripada kapasiti sedia ada,” katanya.