Peguam: Status kahwin bukan tiket suami layan isteri seperti hamba seks

Fadiah Nadwa Fikri berkata, tindakan suami memaksa isteri melakukan hubungan seks ialah perbuatan jenayah seksual.

PETALING JAYA: Peguam dan aktivis wanita, Fadiah Nadwa Fikri berkata, status perkahwinan bukan tiket untuk suami melayan isteri seperti hamba seks.

“Perkahwinan adalah hubungan berdasarkan kasih sayang dan hormat-menghormati. Jika isteri tidak memberikan kerelaan untuk seks, tetapi dipaksa, maka ia adalah rogol,” katanya kepada FMT mengulas kenyataan Hannah Yeoh yang kerajaan sedang berbincang dengan pihak berkepentingan untuk mereformasikan undang-undang berkaitan rogol dalam perkahwinan.

Semalam, timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata, perbincangan itu bukan pertama kali diadakan kerana mereka sudah menemui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan sedang berbincang dengan Jabatan Peguam Negara serta kumpulan hak wanita.

Fadiah berkata, dengan adanya undang-undang itu, isteri akan mendapat perlindungan dan pembelaan lebih baik.

“Undang-undang rogol wajib dilaksanakan, sama ada dalam perkahwinan atau luar perkahwinan kerana jenayah seksual boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, bila tiada kerelaan.”

Sementara itu, 2 badan bukan kerajaan (NGO) berjanji membantu kerajaan dalam proses mereformasikan undang-undang berkaitan rogol dalam perkahwinan yang dijangka siap tahun depan.

Pegawai Komunikasi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Tan Heang Lee berkata, undang-undang itu akan memberi peringatan kepada setiap pasangan yang rogol dalam perkahwinan ialah jenayah.

“Ini akan menyampaikan mesej bahawa rogol dalam perkahwinan adalah kesalahan serius dan suami tidak berhak merogol isteri mereka. Mesej ini akan memberi keyakinan kepada mangsa untuk tampil mendapatkan perlindungan,” katanya kepada FMT.

Tan turut menggesa kerajaan menghapuskan Seksyen 375 Kanun Keseksaan yang mengecualikan isteri daripada mendapat pembelaan selepas dirogol suami kerana undang-undang perlu meliputi semua pihak tanpa mengira hubungan mangsa dan pemangsa.

“Isu bukti bukanlah dasar untuk menentukan sama ada suatu kesalahan adalah jenayah. Kita tidak harus menafikan mangsa daripada hak untuk mendapatkan keadilan, atas alasan sesuatu jenayah sukar dibuktikan.”

Pengurus Komunikasi Sisters in Islam (SIS), Majidah Hashim berkata, undang-undang itu sukar diubah kerana sesetengah pihak memperkecilkan isu itu dan menganggap ia tidak perlu dipersoalkan.

“Kami mengalu-alukan perhatian yang diberi Yeoh ke atas isu yang sangat penting ini.

“SIS berminat dan sentiasa bersedia membantu kerajaan dan mana-mana agensi bagi memastikan undang-undang ini dapat betul-betul direformasikan.”

Selasa lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin dilaporkan berkata, kerajaan belum bercadang menjadikan kesalahan rogol dalam perkahwinan sebagai kesalahan kerana ia sukar dibuktikan di mahkamah.

Beliau berkata, sekiranya kes berkaitan rogol dalam perkahwinan dibawa ke mahkamah, pesalah lebih cenderung dilepaskan berbanding disabitkan kesalahan.