Lombong haram: 8 warga China antara 16 ditahan di Raub

Menteri Besar, Wan Rosdy berkata, hasil operasi beberapa longgokan mineral dipercayai mengandungi emas dan bijih timah dianggar bernilai RM1.5 juta dirampas. (Gambar Bernama)

RAUB: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menahan 16 orang, termasuk 8 warga China kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan perlombongan secara haram di beberapa kawasan hutan di Pahang Barat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, suspek yang berumur 18 hingga 60 tahun itu ditahan dalam Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Aktiviti Lombong Zon Pahang Barat (Ops Lombong 3.0) yang diadakan sejak 30 Okt lalu hingga hari ini.

“Hasil siasatan mendapati 5 daripada warga China berkenaan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan telah pun diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Yang lain termasuk 8 warga tempatan dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Ops Lombong 3.0 di Kompartmen 71, Hutan Simpan Tersang di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, Pengarah Tanah dan Galian negeri Datul Nazri Abu Bakar dan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Pahang Datuk Ir Azman Ab Majid.

Wan Rosdy berkata, hasil operasi itu beberapa longgokan stockpile mineral dipercayai mengandungi emas dan bijih timah dianggar bernilai RM1.5 juta turut dirampas, serta 34 jentera dan mesin pelbagai jenis, 3 lori, sebuah pacuan 4 roda juga disita di bawah Akta Perhutanan Negara dan telah pun dipindahkan ke stor rampasan Kemasul dan Tersang untuk tindakan lanjut.

Operasi besar-besaran yang dilakukan oleh Jabatan Perhutanan itu disertai 168 orang anggota penguatkuasa, termasuk Pejabat Tanah dan Galian negeri, dan Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, Jabaran Imigresen, Pejabat Daerah dan Tanah Raub serta Lipis dan Badan Kawal Selia Air Pahang.

“Kerajaan negeri amat memandang serius kejadian jenayah berkaitan alam sekitar demi menjamin kelestarian kawasan berhutan negeri ini, selain ia juga menyebabkan kerajaan kehilangan hasil,” katanya.

Mengikut rekod Jabatan Perhutanan Pahang sehingga tahun ini hanya 55,059 kawasan di negeri ini dikeluarkan Lesen Mencarigali dan Pajakan Melombong.

Wan Rosdy berkata, daripada jumlah itu seluas 12,366 hektar terletak di daerah Raub, 16,249 hektar di kawasan Lipis, manakala selebihnya terletak di lain-lain daerah di negeri ini.

Operasi kali ini melibatkan kawasan seluas 155,129 hektar Hutan Simpan Kekal dan tanah kerajaan termasuk kawasan Lesen Mencarigali dan Pajakan Melombong yang dilesenkan.

Dalam masa yang sama beliau menyeru rakyat di negeri ini yang mengetahui tentang kegiatan penerokaan tanah dan perlombongan haram, supaya menyalurkan aduan ke akaun Facebooknya Wan Rosdy Wan Ismail untuk tindakan lanjut.