Malaysia akan kurangkan pelaburan awam walau ekonomi tumbuh perlahan

KUALA LUMPUR: Kerajaan baharu Malaysia akan mengurangkan perbelanjaan awam walaupun meramalkan ekonomi bertumbuh semakin perlahan berbanding jangkaan sebelum ini, kerana mahu mengurangkan timbunan hutang yang ditinggalkan pentadbiran dulu.

Diangkat ke tampuk kekuasaan pada Mei, kerajaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad segera mengubah angka hutang Malaysia kepada kira-kira RM1 trilion, mengatakan hutang negara diperkecilkan oleh Datuk Seri Najib Razak, bekas perdana menteri yang kini bedepan pelbagai tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Kerajaan menerbitkan laporan tinjauan ekonomi pada Jumaat untuk mengiringi belanjawan pertamanya. Laporan itu meramalkan pertumbuhan ekonomi 4.8% pada 2018 – penurunan mendadak daripada 5.9% tahun sebelumnya – dengan sedikit kenaikan kepada 4.9% tahun depan.

Bulan lalu, Dr Mahathir mengumumkan pertumbuhan dijangka antara 4.5%-4.9%, turun daripada 5.0% yang diramalkan dulu.

“Perbelanjaan sektor swasta akan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, yang akan mengurangkan kesan perbelanjaan sektor awam yang lebih rendah pada 2018 dan 2019,” kata kerajaan dalam laporan itu.

Pelaburan sektor awam diramalkan akan mengecut sebanyak 1.5% pada 2018 dan turun lagi sebanyak 5.4% tahun depan.

Pertumbuhan perlahan dan ramalan belanja ini 2 minggu selepas kerajaan meninggalkan sasaran fiskal sebelum ini, menganggarkan defisit belanjawan lebih luas dalam beberapa tahun akan datang.

Kerajaan Dr Mahathir dijangka menyampaikan belanjawan pertama berperisa penjimatan hari ini, kerana ia mahu mengisi kekurangan hasil akibat memansuhkan cukai penggunaan.

Sebelum ini ia mengumumkan pembatalan atau penangguhan projek-projek prasarana awam bernilai sekurang-kurangnya AS$20 bilion, dan kerajaan mungkin tidak akan melabur dalam projek baharu dalam jangka masa pendek, menurut laporan ekonomi itu.

Tumpu sektor swasta

Pada 2019, dasar monetari akan kekal bersesuaian dan sebarang “pelarasan akan bergantung kepada risiko sekitar ramalan pertumbuhan domestik dan inflasi,” kata kerajaan dalam laporannya.

Inflasi dijangka meningkat 2.5% -3.5% tahun depan dari 1.5% tahun ini kepada 2.5%.

Kerajaan menjangkakan sektor swasta memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan, dengan pelaburan swasta dilihat meningkat 4.5% tahun ini dan meningkat 5% pada 2019.

Penggunaan swasta akan kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama. Ia diunjurkan berkembang 7.2% pada 2018 dan sederhana sedikit kepada 6.8% pada 2019.

Kebanyakan sektor mungkin menghadapi pertumbuhan yang sederhana sepanjang tahun ini dan 2019, walaupun sektor perlombongan dilihat pulih daripada penurunan 0.6% pada 2018 untuk berkembang 0.7% pada tahun berikutnya.

Pertanian dilihat berkembang pada kadar 3.1% pada 2019, lebih tinggi daripada pertumbuhan 0.2% yang diunjurkan tahun ini berikutan peningkatan hasil minyak sawit.

Kerajaan berkata pertumbuhan eksport kemungkinan akan berkurang sedikit kepada 3.9% pada 2019 daripada pertumbuhan 4.4% yang diunjurkan untuk tahun ini.

Lebihan akaun semasa dijangka berkurangan kepada RM38.6 bilion pada 2018, turun daripada RM40.3 bilion pada tahun sebelumnya. Kerajaan menjangka ia akan menurun lagi pada 2019 kepada RM34 bilion.