Dr M saran ‘pekerja pejabat’ bersenam 15 minit pada waktu rehat

Dr Mahathir berkata, senaman adalah salah satu cara untuk aktifkan tubuh badan. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyarankan pekerja pejabat kerajaan dan swasta untuk melakukan senaman selama 15 minit ketika waktu bekerja.

Beliau berkata, senaman itu boleh dilakukan pada pukul 11 pagi waktu pejabat dan dilakukan secara berkumpulan.

“Saya sarankan buat pada pukul 11 pagi, berhenti dan buat senaman mudah untuk gerakkan tubuh badan.

“Keluar dari bilik ‘aircond’ dan jika boleh buat secara kumpulan. Jangan 15 minit itu minum kopi dan sembang,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Hidup Aktif (Walk) di Setia City Park, Setia Alam, di sini.

Beliau berkata, senaman adalah salah satu cara untuk aktifkan tubuh badan.

Beliau berkata, cara tersebut berbeza bagi pekerja yang bekerja di dalam pejabat, berbanding orang yang bekerja di luar tanpa pendingin hawa.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang hadir sama menyahut saranan Dr Mahathir dan akan memulakan di kementeriannya.

Beliau juga menganggap saranan Dr Mahathir itu sebagai satu arahan untuk pekerja di kementeriannya melakukan senaman selama 15 minit.

“Kita merancang mengendalikan masa ‘break’ itu dengan melakukan senaman dan selepas itu kembali bekerja,” katanya.