NUTP: Agih peruntukan RM60.2 bilion ikut keperluan sekolah, IPT

NUTP menyambut baik insentif potongan cukai individu atau syarikat yang menyumbang kepada tabung penyelenggaraan sekolah dan IPT. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berharap Kementerian Pendidikan dapat mengagihkan peruntukan RM60.2 bilion daripada Belanjawan 2019 mengikut kepentingan di antara sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Pengerusinya Kamarozaman Abd Razak berkata, pengagihan peruntukan yang tepat adalah perlu untuk mengelak pembahagian yang tidak seimbang dan berlaku pembaziran memandangkan kementerian itu kini adalah gabungan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Walaupun jumlah itu berkurangan sebanyak RM1.4 bilion berbanding tahun lepas, NUTP menyambut baik peruntukan itu yang masih merupakan peruntukan terbesar daripada keseluruhan Belanjawan 2019,” katanya.

NUTP dalam pada itu turut mencadangkan agar pihak sekolah diberi kuasa membuat keputusan membaiki kerosakan kecil di sekolah menerusi peruntukan RM652 juta bagi menaik taraf dan menyelenggara semua sekolah.

“Contoh kerosakan kecil adalah seperti membaiki tandas rosak, paip air atau bumbung yang bocor, sebelum ia menjadi lebih besar,” katanya lagi.

Mengulas insentif potongan cukai ke atas individu atau syarikat yang menyumbang kepada tabung penyelenggaraan sekolah kerajaan dan institusi pengajian tinggi, Kamarozaman menyifatkannya sebagai idea yang sangat baik dan mencadangkan kelayakan itu turut diberi kepada penyumbang dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Ini kerana banyak dana untuk penyelenggaraan sekolah disumbang oleh PIBG. Kelayakan tuntutan cukai itu akan menggalakkan lebih ramai pihak tampil memberi sumbangan.”

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan melihat belanjawan pendidikan kali ini masih memberi keutamaan kepada pihak yang memerlukan, khususnya golongan miskin.

“Walaupun tidak diperincikan bantuan tersebut, namun bantuan buku teks, makanan tambahan dan tunai masih diteruskan. Harapan kita bantuan disalurkan kepada warga yang memerlukan dan tidak membazir kepada golongan warga mewah dan khusus untuk keperluan utama pendidikan murid,” katanya.

Beliau berpendapat peruntukan RM50 juta bagi Sekolah Kebangsaan Cina, Sekolah Kebangsaan Tamil, Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Tahfiz serta RM250 juta untuk sekolah pondok persendirian adalah agihan yang berpatutan.

“Agihan peruntukan itu dilayani agak sama rata dan diharap pihak yang bertanggungjawab dapat melaksanakan amanah dengan lebih berkesan dan tidak disia-siakan, untuk manfaat semua,” katanya.