Amaran Umno: Puluh ribu ke jalan raya jika meterai ICERD

Sebahagian daripada penunjuk perasaan yang berhimpun seawal 2.00 petang tadi.

KUALA LUMPUR: Umno memberi amaran puluhan ribu akan turun menunjuk perasaan di jalan raya sekiranya kerajaan mengesahkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk DIskriminasi Kaum (ICERD).

Ketua Pemuda Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata tunjuk perasaan besar-besaran itu cara terakhir dalam usaha membantah ICERD jika kerajaan terus “angkuh” dan “sombong”.

Beliau berkata demikian kepada penunjuk perasaan yang berhimpun di Jalan Tunku Abdul Rahman di ibu negara hari ini untuk membantah hasrat kerajaan mengesahkan ICERD.

Demonstrasi itu sekali lagi menemukan parti Melayu terbesar itu dengan parti Islam terbesar, PAS dan kawasan sekitar bergema dengan laungan “jahanam ICERD” dan takbir.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi berkata mereka akan menjelajah ke seluruh negara untuk beri penerangan tentang kesan ICERD. (Gambar Bernama)

“Himpunan hari ini merupakan permulaan dan kita akan menjelajah ke setiap negeri bagi menyatakan bantahan terhadap ICERD. Selepas ini akan jelajah satu negeri ke satu negeri bagi fahamkan rakyat agar tidak boleh ditipu mereka.

“Kalau angkuh, sombong dan nak teruskan ICERD, kita akan hadir di Kuala Lumpur dengan angka 10,000,” kata Asyraf disambut sorakan peserta.

Beliau juga menyeru orang ramai menandatangani petisyen tolak ICERD di Facebook. “Kita sasar 100,000 tolak ICERD dalam petisyen itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika ditemui di tunjuk perasaan hari ini berkata beberapa program sudah dirangka sehingga kerajaan membuat pendirian rasmi tentang ratifikasi ICERD.

Ketua Pemuda PAS Khalil Hadi berkata isu ICERD timbul ketika kerajaan sepatutnya mengutamakan isu kos sara hidup.

Beliau tertanya mengapa kerajaan menimbulkan isu ICERD ketika kerajaan sepatutnya mengutamakan isu kos sara hidup yang tinggi sekarang ini.

“Kerajaan hari ini tiba-tiba mahu mengesahkan ICERD dalam tidak ada hujan dan ribut,” katanya Khalil.

Pengkritik sering menuduh gabungan pemerintah Pakatan Harapan gagal menunaikan janji manifesto pilihan rayanya selepas membentuk kerajaan pada 9 Mei lalu. Menteri Kewangan Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2019 pada 2 November lepas.

Pemimpin lain yang menyertai tunjuk perasaan hari ini ialah Naib Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan dan Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari.

Pengkritik ICERD berkata perjanjian antarabangsa itu mungkin memberi kesan kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

Bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak memenuhi syarat-syarat ICERD yang membolehkan ia diberi pengecualian.

“Dalam kata-kata lain, Perkara 153 perlu dimansuhkan dan segala dasar yang mengutamakan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, mestilah dihentikan,” kata Hamid.