Pemilihan PKR Pensiangan diberi masa tambahan, pengundi terlalu ramai

Seorang pengundi menggunakan peranti untuk memilih calon bagi jawatan tinggi parti. Proses pemilihan dicemari pertikaian dan masalah teknikal. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Pemilihan PKR yang sedang berjalan terus dilanda masalah, dan kali ini satu bahagian di Sabah diberi masa tambahan selepas tempoh memilih tamat pada 5.00 petang.

Pengerusi jawatankuasa pemilihan pusat Datuk Rashid Din berkata pemilihan di Pensiangan hari ini terpaksa diberi masa tambahan kerana terlalu ramai turun mengundi.

Beliau memberitahu FMT masih ada ramai ahli menunggu untuk memilih calon selepas tamat tempoh memilih.

“Terlalu ramai orang menunggu di dalam dan luar tempat mengundi. Kami buat keputusan untuk tutup pintu pagar dan membenarkan mereka yang sedang menunggu untuk daftar dan mengundi,” katanya.

Proses pemilihan diteruskan sehingga 7.30 malam.

“Kami tiada pilihan…ramai yang tidak dapat mengundi tetapi kami terpaksa hentikannya pada 7.30 malam,” katanya.

Naib Pengerusi PKR Sabah Kenny Chua berkata keputusan di tangan jawatankuasa pemilihan dengan persetujuan calon-calon terlibat.

Pensiangan yang terletak di pedalaman Sabah mempunyai lebih 3,000 ahli layak mengundi.

Sabah mempunyai 25 bahagian dan jumlah ahli PKR kedua paling ramai dengan 147,000 ahli berdaftar.

13 bahagian di Sabah mengadakan pemilihan hari ini.

Kiraan tidak rasmi dari kebanyakan bahagian menunjukkan calon timbalan presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahului pesaingnya Rafizi Ramli.

Azmin setakat ini menang di 14 bahagian, termasuk 8 hari ini. Ketika berita ini ditulis, undi Azmin hampir mencecah 7,800 undi berbanding 5,580 undi yang diperoleh Rafizi.

Pemerhati berkata keputusan dari Tenom dan Pensiangan boleh memberi kelebihan kepada Rafizi yang dikatakan popular di 2 kawasan pedalaman itu.