Tentera tolak dakwaan pinggir adat dan budaya dalam acara rasmi

ATM berkata, ia memberi kelonggaran bagi penggunaan pantun, gurindam, seloka dan seumpamanya dalam majlis yang tidak bersifat rejimental dan tidak formal. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Markas Angkatan Tentera Malaysia menolak dakwaan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengetepikan adat dan budaya berhubung isu penggunaan pantun dalam majlis rasminya.

Dalam satu kenyataan hari ini, ATM sama sekali menolak dakwaan ia mengetepikan adat dan budaya kerana larangan itu hanya melibatkan majlis rasmi ketenteraan.

“Arahan yang dikeluarkan adalah sebagai peringatan dalaman kepada semua Markas Perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) agar tidak menggunakan seloka, pantun dan jenaka oleh juruacara ketika majlis rasmi ketenteraan.

“Majlis rasmi ATM adalah bersifat rejimental dan pelaksanaannya dilakukan dengan tertib, penuh dengan adab dan etika ketenteraan,” kata ATM dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam tular satu surat pekeliling arahan rasmi Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Datuk Kamalruzaman Mohd Othman bertarikh 2 Nov kepada semua Markas TDM, TLDM dan TUDM agar tidak menggunakan pantun dan jenaka oleh juruacara ketika majlis rasmi ketenteraan.

Arahan tersebut mendapat kritikan daripada budayawan, Tan Sri Rais Yatim yang mempertikaikan larangan itu.

Rais melahirkan perasaan tidak puas hati beliau di aplikasi Twitter dengan berkata, “Baca surat ini. Takkanlah Melayu dah begitu daif budaya sendiri hinggakan nak berpantun pun dihalang”.

ATM dalam kenyataannya juga memberitahu, majlis rasmi yang dimaksudkan adalah seperti acara yang melibatkan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Raja-Raja dan Pembesar Negeri, acara perbarisan, acara rasmi yang dilaksanakan di peringkat ATM dan Perkhidmatan TDM, TLDM dan TUDM.

“ATM masih memberi kelonggaran bagi penggunaan pantun, gurindam, seloka dan seumpamanya dalam majlis yang tidak bersifat rejimental dalam sambutan majlis yang tidak formal seperti jamuan bersama anggota keluarga, sukan dan sebagainya,” katanya.