Kenakan cukai gula ke atas pengilang, bukan pengguna, kata badan pemikir

Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, dalam jangka panjang, pengguna akan menjadi kurang sensitif terhadap perbezaan harga. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Sebuah badan pemikir menasihatkan kerajaan supaya mengenakan duti eksais minuman bergula, yang diumumkan dalam Belanjawan 2019, ke atas pengilang bukannya di peringkat runcit, dengan berkata langkah itu lebih berkesan berbanding bergantung kepada pengguna untuk mengurangkan pengambilan gula.

Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial mengalu-alukan langkah kerajaan mengenakan cukai sebanyak 40 sen setiap satu liter minuman sedemikian tetapi turut mengingatkan bahawa pelaksanaan langkah sama di negara lain menunjukkan kesan yang bercampur-campur.

Katanya, menurut kajian dijalankan di UK, Chile dan Mexico, langkah itu berkesan dalam jangka pendek ke atas pengguna muda berumur antara 13 ke 30 tahun yang lebih sensitif harga.

“(Mereka) berkemungkinan besar akan mengurangkan pengambilan gula sehingga ke peringkat 80%,” kata ketua eksekutif Galen, Azrul Mohd Khalib, dalam satu kenyataan.

Sebaliknya, pengguna lebih berusia berkemungkinan besar tidak akan mengubah kebiasaan mereka dan kekal relatif kurang sensitif terhadap peningkatan harga.

“Dalam jangka panjang, pengguna akan menjadi kurang sensitif terhadap perbezaan harga, sekali gus menghendaki cukai dinaikkan pada masa depan,” katanya.

Beliau mencadangkan supaya Putrajaya mengenakan cukai itu ke atas pengilang seperti diamalkan di UK, dengan berkata, kaedah itu akan mendorong mereka mengurangkan kandungan gula dalam produk masing-masing bagi mengelakkan pengenaan cukai.

“Hakikatnya, kita tidak boleh bergantung pada pengguna Malaysia supaya berubah dan mengamalkan pilihan serta kebiasaan lebih sihat.”

Kata beliau, dengan pelaksanaan cukai ke atas minuman bergula, pengguna akan beralih kepada minuman lain seperti sirap bandung, Milo, teh tarik dan kopi susu.

“Senarainya panjang dan lebih bermasalah berbanding minuman bersoda kerana ia dinikmati oleh majoriti pengguna. Minuman ini malangnya tidak dikenakan cukai.”

Azrul juga mencadangkan supaya hasil yang dikutip daripada cukai gula disalurkan kepada program kesihatan yang dirangka bagi menangani masalah penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan kanser, serta isu obesiti.

“Menguntukkan hasil cukai ini, berserta hasil yang diterima daripada cukai tembakau dan alkohol, akan membantu mengatasi kurangan semasa dalam pembiayaan program pencegahan NCD,” katanya.