Mrs Malaysia, Kokilam sambut Deepavali dengan makanan Cina

Nama wanita bertubuh ramping ini mula menjadi perhatian selepas dinobatkan sebagai ratu cantik Mrs Malaysia 2018. Kini, Kohilan Kathirvailu sedang mempersiapkan diri untuk acara yang lebih gah pada bulan Mac 2019 di China, di mana beliau akan bersaing dengan wakil ratu cantik wanita dari serata dunia dalam percubaan menggondol anugerah Mrs World.

FMT Ohsem sempat menemui ibu kepada 3 orang anak ini sempena sambutan Deepavali dan berkongsi pengalaman mengenai perjalanannya ke Mrs World.

Beliau yang kini tinggal di Semenyih, namun berasal dari Brickfields, Kuala Lumpur akui sememangnya seorang yang aktif dan peka dengan penjagaan diri sejak muda lagi.

“Saya duduk di KL, anak ketiga daripada 4. Saya sememangnya amat peka dengan isu membabitkan penjagaan diri dan fesyen. Lebih dari itu, saya seorang yang suka mencabar diri. Saya memang bukan seorang yang suka duduk diam. Saya selalu melibatkan diri dalam sukan dan olahraga sejak di bangku sekolah,” kata Kokilam yang aktif dalam sukan hoki ketika di sekolah selain suka melakukan aktiviti lasak seperti mendaki.

Wanita berusia 34 tahun ini berkata dia mula-mula melibatkan diri dalam pertandingan ratu cantik pada 2003 untuk sebuah pertandingan ratu sari dan memenangi tempat pertama.

Namun selepas itu Kokilam lebih memberi tumpuan kepada kehidupan rumah tangga yang dibina pada 2007, apatah lagi selepas melahirkan anak pertama pada tahun berikutnya.

Kini anak Kokilam berusia 10, 7 dan satu-satunya anak perempuan pula berusia 5 tahun.

“Anak saya, walaupun masih kecil tetapi mereka agak mudah dijaga. Maka, saya dapat memberi perhatian kepada pembangunan kendiri. Di tambah pula dengan sokongan daripada suami yang tidak pernah halang cita-cita saya,” katanya yang sedang melanjutkan pengajian ijazah dalam bidang psikologi di sebuah universiti swaasta di ibu kota.

Suami Kokilam, Athisivam Krishnan, 38, seorang ahli perniaagaan tidak pernah menghalang wanita ini menyertai pertandingan ratu cantik yang memerlukan dia melibatkan diri secara sepenuh masa selama 3 bulan, sejak pertengahan Julai.

“Saya tidak penah tinggalkan mana-mana kelas sepanjang sesi Mrs Malaysia. Saya menjaga makan minum serta kecergasan diri,” katanya.

Ditanya secara lanjut, Kokilam berkata, adik-beradik perempuannya Bawani dan Arthi Valli menjadi tulang belakang untuknya menyertai pertandingan tersebut.

“Adik saya, Bawani adalah bekas pemenang ratu cantik Miss Malaysia-Indian Global pada 2010. Jadi dia mendidik saya, selebihnya saya belajar daripada sesi ‘brain stroming’ dan kelas yang diadakan oleh pihak pengurusan Mrs Malaysia.

“Buat masa ini saya bekerja secara bebas, selepas terikat dengan sebuah syarikat lebih 10 tahun, saya gunakan masa yang ada antara pertandingan ini dan keluarga. Mujur, semuanya berjalan lancar dan saya dinobatkan sebagai pemenang,” jelasnya lagi.

Beliau juga banyak berkongsi tip kejelitaan khususnya bagi seorang ibu sepertinya yang bukan sekadar rupa paras tetapi dalaman, dan bagi Kokilam, keyakinan adalah segala-galanya.

Tambahnya keyakinan adalah mantera bagi perjalannya sehingga ke hari ini. Selain itu, dia juga akui kepentingan untuk kekal sedar dengan perkara yang berlaku di sekeliling dan bersikap bertimbang rasa, kasih sayang serta dedikasi apabila melibatkan diri dalam sesuatu tugas.

Seorang olahragawan sekolah dan gemar berlari, wanita ini terus melakukan aktiviti berlari selama satu hingga 2 jam setiap pagi sebagai rutin harian.

“Kalau ada masa, saya akan ke gym kemudian melakukan aktiviti harian yang lain. Makan minum, seperti biasa saya melebihkan sayur, buah dan air putih yang banyak,” katanya.

Kokilam juga berkongsi kepentingan kekal aktif bagi wanita dan tidak menjadikan alasan sudah berkahwin atau mempunyai anak untuk tidak terlibat dalam aktiviti fizikal. Katanya wanita tidak sepatutnya mengehadkan kemampuan fizikal mereka dan terbuka menyertai acara-acara yang mencabar diri.

“Terakhir sekali, kita kena pastikan selalu mengikuti trend semasa. Siapa pun diri kita, mahirkan diri dengan ilmu penjagaan diri,” itu sahaja kata Kokilam.

Kembali kepada sambutan Deepavali tahun ini, ternyata ia sesuatu yang istimewa apatah lagi memasak juga salah satu kegemaran Kokilam.

“Saya gemar memasak tetapi kepakaran saya ialah masakan Cina. Jadi tetamu dan sanak saudara yang melawat rumah saya akan selalunya menikmati makanan yang jauh berbeza dari norma Deepavai,” ujarnya juga mengakui walaupun masakannya bercitarasa Cina tetapi dia tetap menyukai semua jenis makanan Malaysia.

Pada Deepavali, seperti mana setiap tahun, Kokilam bakal tampil dalam pakaian tradisional, iaitu sari. Katanya, tidak kira apa sekalipun pakaian yang dia miliki, kain sari adalah pakaian wajib dan sain kain kapas yang ringan menjadi pilihan. “Saya suka pakai sari yang tidak terlalu berat dan nipis atau ringan. Ia menjadikan kita selesa dan tampil lebih kemas,” katanya yang turut mengucapkan ucapan selamat Deepavali kepada smeua pembaca FMT Ohsem.