Aliff Syukri dedah wanita ‘ugly’ GV5 sebahagian strategi pemasaran

Sejak beberapa hari yang lalu, usahawan kosmetik dan selebriti filem Badang, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dikecam teruk di laman sosial ekoran tindakannya dalam rancangan realiti secara langsung, Gegar Vaganza 5 (GV5), apabila melabel seorang wanita sebagai ‘ugly’ dan berwajah seperti bomoh.

Ekoran kecaman itu, Alif tampil dengan pelbagai muatnaik dalam laman sosialnya, dan terbaru beliau membawa wanita yang terlibat dalam kontroversi itu untuk menjelaskan perkara sebenar.

Menurut wanita itu, dia sememangnya sedar kerana segalanya telah diatur lebih awal pasukan mereka untuk mempromosi produk Aliff Syukri di pertengahan rancangan berkenaan.

Jelasnya, “Ia sebahagian daripada kerja saya untuk buat benda tu.

“Kepada netizen di luar, anda perlu ambil perkara ini secara positif,” katanya yang juga akui perbuatan menyentuh muka untuk disapu pengasas bedak itu juga dilakukan secara sedar.

Aliff Syukri pula menambah beliau tidak akan sengaja berbuat demikian (melabel dan menyantuk muka untuk dicalit produknya) sebaliknya ia diatur termasuk tempat duduk wanita itu iaitu di penghujung supaya mudah untuk jurukamera dan krew produksi buat rakaman.

Jadi beliau menyeru netizen dan orang ramai supaya berhenti mengecam dan akui terlepas kata, kerana beliau tidak menemui perkataan Inggeris untuk ‘kusam’ dan terguna perkataan ‘ugly’ dalam rancangan yang dirakam secara langsung itu.

Aliff Syukri berharap netizen menilai sendiri dan meletakkan diri mereka di tempatnya sebagai penaja program tersebut yang menaja jutaan ringgit.

Manakala, isteri beliau, Nur Shahida turut menerima tempias sehingga beliau juga tampil dengan muatnaik Instagram meminta suaminya, Aliff Syukri supaya tidak lagi membuat kemunculan di kaca televisyen.

“I dah cakap dengan you tak perlu keluar TV sebab tak semua faham cara you cakap sebab you suka terlepas @aliffsyukriterlajaklaris. Tak pasal banyak betul orang yang ‘sekolahkan’ (kritik) you hari ni, Datuk, Dr lah,chef lah, artis semua adalah.” tulisnya.

Dalam program yang sama Aliff Syukri juga mengutuk warna kulit penyanyi Santesh Kumar yang popular dengan lagu Amalina selain penyanyi lagu Asyik, Amelina sebagai memakai susuk.