Kami menangkan PH, mana mungkin ugut Loke, kata pengusaha teksi

KUALA LUMPUR: Pengusaha teksi menolak dakwaan mengatakan pemandu menunjuk perasaan untuk mengugut pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad khususnya Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata pemandu teksi menunjuk perasaan di Parlimen pada Khamis ini kerana menteri enggan bertemu dan mendengar penjelasan mereka.

“Kami tidak ugut sesiapa malah kami yang menyokong Pakatan Harapan sehingga menang. Takkan saya nak ugut?” katanya menjawab kenyataan menteri yang meminta pemandu teksi tidak membuat permintaan berunsur ugutan.

Loke berkata pihaknya tidak akan melayan sebarang permintaan yang mempunyai unsur ugutan selepas Shamsubahrin berkata pemandu teksi akan berarak ke Parlimen sekiranya menteri enggan bertemu mereka.

Shamsubahrin mendakwa pihak pemandu teksi sepatutnya bertemu Loke selepas satu persefahaman dicapai antara mereka dan para pegawai menteri itu.

“Tetapi selepas pertemuan itu pegawai tidak jawab panggilan dan pesanan tidak dibalas. Mana taknya kami marah kalau hanya cakap kosong?” katanya.

Shamsubahrin berkata pihaknya hanya ingin bertemu Loke bagi mendapatkan penjelasan kenapa sehingga kini tidak ada ketetapan peraturan yang menyamaratakan perkhidmatan perkongsian kenderaan dengan teksi.

“Kami bukan nak bodek, minta peruntukan atau nak bergaduh. Kami nak penguatkuasaan seperti yang dijanjikan,” katanya.

Beliau berkata antara masalah yang timbul adalah perbezaan harga kerana tambang teksi bermula pada RM3 hingga RM6.

“Mana boleh macam itu? Kalau nak buat juga kerajaaan kena buang meter,” katanya.

Kenyataan Shamsubahrin disokong Ketua Persatuan Gabungan Teksi Se-Malaysia Kamaruddin Hussain.

Beliau berkata pihaknya tidak pernah meminta kerajaan mengharamkan perkhidmatan perkongsian kenderaan sama sekali.

“Tetapi menteri selalu memutar belitkan fakta dan mendakwa kami menuntut e-hailing diharamkan. Ini yang mendatangkan ketidakpuasan hati kami,” katanya.

Beliau memberi contoh peraturan dalam dokumen Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), kini Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad), memberi banyak kelonggaran kepada pemandu perkhidmatan perkongsian kenderaan.

“Sedangkan kami masih terikat dengan peraturan sedia ada, bahkan kadar tambang dan komisyen yang tidak diselaraskan akan menyebabkan pemilik syarikat aplikasi memanipulasikan tempahan penumpang.

“Itukah yang beliau katakan beliau sedang berusaha mewujudkan padang persaingan yang sama rata?” katanya.