Lulus pas lawatan sosial: Bekas pengarah Imigresen bergelar ‘Datuk’ bebas reman

Semua suspek disyaki menerima rasuah daripada ejen yang menguruskan pas lawatan sosial sebagai balasan memudahkan kelulusan permohonan.

PUTRAJAYA: Bekas pengarah Bahagian Visa, Pas dan Permit (VPP) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bergelar “Datuk” dibebaskan Mahkamah Majistret, hari ini selepas direman bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai jutaan ringgit.

Majistret Khir Nizam Jemari turut membebaskan seorang lagi suspek berkaitan kes itu iaitu pemandu Bahagian Korporat Imigresen, Putrajaya.

Kedua-dua lelaki masing-masing berusia 47 dan 46 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu, tempoh reman terhadap seorang lagi suspek iaitu kakitangan di Bahagian Perkeranian dan Operasi, Bahagian Visa, Pas dan Permit, berusia 59 tahun, disambung selama 2 hari bermula esok bagi membantu siasatan kes itu.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini ditahan reman selama 7 hari bermula 1 Nov lepas bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kelulusan permohonan pas lawatan sosial.

Menurut sumber SPRM, bekas pengarah itu ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya selepas proses rakaman percakapan pukul 9.40 malam, 31 Okt lepas.

Dua lagi suspek ditahan di kediaman masing-masing.

Menurut sumber itu lagi maklumat mendapati semua suspek disyaki menerima wang rasuah daripada ejen-ejen yang menguruskan pas lawatan sosial sebagai balasan memudahkan kelulusan permohonan pas itu daripada JIM pada 2015 dan 2016.