Ninja Malaysia, Mat Redho julang nama negara di Australia

Lelaki bernama Redha Rozlan, 30 atau lebih dikenali sebagai Mat Redho baru-baru ini menjadi sensasi media sosial selepas memenangi acara sukan ekstrem, Ninja Challenge League 2018 yang diadakan di Perth, Australia.

Menarik mengenai Mat Redho, ini bukanlah cabaran pertama yang disertainya tetapi beliau kerap melibatkan diri dalam acara berkenaan di seluruh dunia.

Menurut satu perkongisan di Instagram (IG) miliknya, Mat Redho akui dirinya tetap sukar mendapat tajaan luar dan terpaksa ‘pecah tabung’ setiap kali menyertai kejohanan tersebut.

“Kami ada tabung sendiri untuk keluar negara… macam biasa… kalau nak ke pertandingan luar pasti pecah tabung punya… dalam masa sama tak pernah pun putus asa cuba nasib untuk ditaja,” tulisnya.

Bagaimanapun, Mat Redho tetap menyampaikan kepuasan membawa bersama jalur Gemilang dan bersyukur atas sokongan isteri dan anak yang sentiasa bersama.

“Alhamdulillah, setakat ini sahaja yang saya mampu. Terima kasih pada isteri yang selalu teman dan jerit sambil dukung anak kami.

Mat Redho juga pernah menyertai American Ninja Warrior Musim ke 9 dalam kumpulan Asia, Sasuke Asean Cup 2014 dan Sasuke Vietnam 2016, 2017 dan 2018 selain menjadi Juara Fear Factor Selebriti Malaysia musim kedua berpasangan dengan pelakon Erin Malek pada 2014.

Beliau juga pernah sebelum ini melakukan terjunan ‘rope swing’ bersama anak perempuannya, Mecca Mikaela, 2 sehingga viral di laman sosial.