Untuk berjaya, Umno perlu faham keperluan orang Melayu, kata Zaid

Zaid Ibrahim berkata, rakyat akan menyokong parti Melayu yang menyemai nilai baik seperti kejujuran dan integriti dalam budaya politik tempatan serta membantu orang Melayu mencapai kejayaan.

PETALING JAYA: Bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, tidak sukar untuk Umno melawan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan manifesto mereka yang disifatkannya dihasilkan “idealis dan ahli ekonomi” yang “menjanjikan semua perkara”.

Ahli DAP itu memberi panduan kepada pemimpin Umno cara meremajakan parti itu, susulan kekalahan mengejut pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Beliau berkata, pemimpin Umno sepatutnya mencari jalan mencabar dasar berdekad lama, termasuk yang diperkenalkan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun, bukannya menghabiskan masa dalam soal jika Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu berundur sementara menunggu perbicaraan kes rasuahnya selesai.

“Dr Mahathir ialah Margaret Thatcher versi Malaysia, jadi untuk melawannya anda memerlukan seorang Tony Blair dalam Umno,” tulisnya dalam blognya hari ini.

Bekas ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, perjuangan Umno untuk bangkit daripada kekalahannya tidak akan berjaya, jika pemimpinnya kekal dengan “cara politik lama” menggunakan isu hak orang Melayu dan Islam untuk meraih sokongan kaum itu.

Katanya, dasar itu adalah kesan daripada Umno lama yang dikuasai Dr Mahathir, tetapi Umno hari ini perlu “moden dan progresif” supaya orang Melayu boleh menguasai ekonomi dan pendidikan.

Zaid berkata, tanpa perlu beralih daripada perjuangan orang Melayu, Umno perlu tampil dengan satu teras ekonomi yang tidak akan mengabaikan sesetengah kebajikan bagi kaum itu.

“Oleh itu, teras ekonomi Umno perlu menuju ke arah negara sosialis terkawal, dengan mempunyai ruang bagi aktiviti swasta. Ini bertentangan dengan dasar ekonomi Dr Mahathir.

“Umno perlu menentang ekonomi bebas campur tangan yang dilaksanakan Dr Mahathir. Mereka perlu menentang rancangan penswastaannya dan menjual aset negara.”

Katanya, satu daripada kelemahan PH ialah kegagalannya memenuhi janji untuk melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan.

“Masalahnya ialah pembuat keputusan sebenar dalam kerajaan PH bukan sosialis atau penyokong sistem kebajikan.

“Mereka adalah jutawan dan tauke yang rapat dengannya, dan sependapat dengan pemikiran ekonomi Dr Mahathir.

“Sudah tentu mereka suka menjual aset dan menyokong idea melahirkan lebih ramai ahli perniagaan kaya. Mereka percaya ini akan mempunyai kesan berikutnya (memanfaatkan orang miskin apabila kekayaan golongan atasan bertambah), dan semua orang akan gembira serta puas hati.”

Beliau berkata, pemimpin Umno masih tidak memahami kehendak orang Melayu hari ini dan ramai berpuas hati dengan meneruskan dasar lama yang memanfaatkan diri serta menjadikan mereka kaya.

“Ketamakan ini semakin mendalam dan akhirnya membawa kepada kekalahan pada Mei lalu kerana dasar itu tidak lagi mampu memuaskan hati orang Melayu,” katanya sambil menambah bantahan Umno terhadap ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ialah contoh parti itu tidak memahami keperluan orang Melayu.

Dengan hanya “beberapa pelapis yang bijak” dalam kepimpinan Umno, katanya, mereka sepatutnya memperjuangkan pendidikan, prinsip moral positif dan kelakuan baik.

“Bakal pemimpin itu perlu mempunyai kemampuan untuk berunding dengan pemandu teksi mengenai rancangannya tanpa mengharamkan Grab. Beliau perlu berani memberitahu orang Melayu rancangannya untuk menghapuskan ketamakan dan ketidakjujuran dalam pelaksanaan kuasa.

“Mana-mana parti Melayu yang boleh menyemai nilai-nilai seperti kejujuran dan integriti dalam budaya politik kita, serta membantu orang Melayu berjaya, akan mendapat sokongan rakyat.”