Basikal buluh Indonesia menang anugerah Jepun

( Kredit gambar: Spedagi )

KUALA LUMPUR: Basikal buluh Spedagi pilihan Asean-Japan Centre (AJC) yang dihasilkan oleh CV Pirani Works dari Indonesia meraih Anugerah Emas pada Good Design Award 2018 di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

Good Design Award merupakan antara anugerah reka bentuk paling berpengaruh di dunia yang dikendalikan oleh Institut Promosi Reka Bentuk Jepun (JDP).

Anugerah itu tiket kepada pengiktirafan dunia bagi produk dengan reka bentuk berkualiti.

AJC yang disertai 10 negara Asean dan Jepun memilih basikal daripada buluh Spedagi dalam program Pilihan Reka Bentuk Asean.

Ia melancarkan program itu pada 2017 bagi mempromosikan industri kreatif negara Asean dengan kerjasama JDP, kata AJC dalam kenyataan.

Matlamat program ialah berkongsi nilai reka bentuk terbaik seperti yang diiktiraf oleh Good Design Award dan negara Asean dan menggunakan reka bentuk sebagai alat menyelesaikan isu ekonomi dan sosial serta menyumbang kepada pembangunan lestari.

Program juga bertujuan menggalakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana meningkatkan reka bentuk produk dan perkhidmatan bagi mewujudkan nilai baharu selain mengintai pasaran reka bentuk Jepun.

Sebanyak 22 produk dan perkhidmatan daripada 261 calon mewakili 10 negara Asean menerima anugerah Good Design Award.