Rata-rata rakyat belum sedia terima ICERD, kata Redzuan

SHAH ALAM: Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof secara peribadi berpandangan rakyat rata-ratanya belum sedia menerima pengesahan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Beliau yang juga ahli majlis tertinggi PPBM berkata dia akan menyokong pengesahan perjanjian antarabangsa itu jika ia menguntungkan kaum majoriti.

“Adakah kita nak bawa ICERD untuk orang yang 30%?” katanya pada sidang media di Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor.

Redzuan juga mengingatkan pelaksanaan ICERD tidak mudah kerana faktor Perlembagaan Persekutuan, perjanjian-perjanjian, demografi dan politik.

Terdahulu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata Pemuda PPBM dan Umno tidak seharusnya bimbang dan takut terhadap ICERD kerana perjanjian antarabangsa itu tidak akan membatalkan keistimewaan Bumiputerea dan kedudukan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Isnin lalu, Pemuda PPBM mengumumkan ia akan menolak pengesahan ICERD sekiranya ia melemahkan atau menghakis fungsi dan kesan Artikel 153 perlembagaan Persekutuan, sistem Raja berperlembagaan, kedudukan Islam, dan mana-mana hak termaktub dalam perlembagaan itu.

Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pendirian sayap itu berdasarkan persefahaman dan ketetapan bersama parti komponen PH untuk meneruskan dan menyejahterakan Malaysia melalui asas dan dasar sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan.