Saya ke Julau atas urusan rasmi, kata Wan Azizah

Wan Azizah Wan Ismail (tengah) ketika membuat lawatan rasmi ke Sekolah Tunas Bakti (L) Sungai Besi, hari ini.

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menepis dakwaan Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya yang mempersoal lawatannya ke Julau, Sarawak, Selasa lalu.

Beliau berkata kunjungannya ke daerah itu dibuat atas kapasitinya sebagai timbalan perdana menteri dan tidak mempunyai kaitan dengan pemilihan PKR Sarawak yang akan diadakan Sabtu ini.

“Itu sebahagian daripada kunjungan rasmi saya.

“Kunjungan itu sepatutnya selepas pemilihan parti, tetapi malangnya pemilihan parti itu ditangguhkan (minggu ini),” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan rasmi ke Sekolah Tunas Bakti (L) Sungai Besi, hari ini.

Jelasnya, kunjungan beliau ke Julau bagi membuktikan kerajaan tidak mengabaikan negeri yang dipegang pembangkang ketika ini.

Katanya, tidak ada unsur beliau mahu berkempen untuk mana-mana calon bagi pemilihan PKR seperti didakwa sesetengah pihak.

“Saya tak pergi untuk berkempen. Saya nak berkempen untuk siapa. Saya juga tidak bertanding.

“Itu adalah negeri pembangkang jadi kerajaan mesti tunjuk yang kami prihatin, kami tidak diskriminasi. Itu sahaja yang berlaku,” katanya.

Semalam Latheefa menggelarkan lawatan Wan Azizah itu sebagai tidak wajar dan sangat dipersoalkan.

“Tiada alasan yang dapat difikirkan mengapa lawatan Wan Azizah mesti dibuat menjelang pemilihan PKR di Sarawak. Kenapa timbalan perdana menteri tidak melawat selepas pemilihan parti?”

Latheefa juga mendakwa lawatan Wan Azizah melibatkan kedudukannya dan aset kerajaan, dengan menyatakan Wan Azizah mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk jalan di Julau.

Pemilihan PKR di Sarawak akan diadakan 10 November ini dengan tumpuan kepada bahagian Julau dan Lubok Antu.