Skim pendanaan awam hartanah perlu dikaji, kata Daim

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempunyai niat yang baik apabila memperkenalkan inisiatif pendanaan awam hartanah, iaitu inovasi kewangan pertama di dunia, tetapi kajian yang mendalam perlu dilaksanakan, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata inisiatif pembiayaan perumahan rakan setara (P2P), yang diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2019 baru-baru ini merupakan sesuatu yang baharu.

“Ia akan menjadi kali pertama sebuah negara mencuba langkah ini untuk membantu merapatkan jurang antara gaji yang rendah dan harga rumah yang tinggi.

“Oleh itu, kita perlu melihat lebih banyak kajian dijalankan secara praktikal untuk melaksanakannya,” katanya kepada pemberita di luar Siri Persidangan Modal Affin-Hwang 2018 hari ini.

Pada awal minggu ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yakin penyelesaian pendanaan awam hartanah akan membantu memacu pembinaan 1 juta rumah dalam tempoh 10 tahun.

Skim itu, yang akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti, akan menawarkan pembeli rumah kali pertama peluang untuk membayar hanya 20% untuk memiliki sebuah rumah manakala baki kos akan ditanggung oleh pelabur melalui rangka kerja pembiayaan P2P.

Mengulas mengenai tawaran kerajaan Jepun untuk menjamin bon Samurai 200 bilion yen (RM7.4 bilion) bertempoh 10 tahun, Daim berkata langkah itu akan membantu Malaysia melunaskan beberapa hutang lama yang diperoleh pada kadar faedah yang tinggi.