9 pelajar sekolah antara ditahan sertai parti liar

KUALA LUMPUR: Sembilan pelajar sekolah antara 45 orang yang ditahan ketika menyertai parti liar di sebuah kondominium di Seri Kembangan dekat Serdang, kelmarin.

Dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada jam 3.45 pagi itu, semua individu berkenaan berada dalam keadaan khayal dipercayai akibat pengambilan dadah dan alkohol.

“Parti liar itu dipercayai diadakan lebih 24 jam dan semua suspek menerima jemputan tertutup melalui media sosial selain perlu membayar caj masuk sekurang-kurangnya RM60,” kata Ketua Polis Serdang ACP Ismadi Borhan pada sidang media, hari ini.

Katanya, mereka yang ditahan berusia antara 14 tahun dan 26 tahun, iaitu 8 perempuan dan 37 lelaki termasuk pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di premis itu polis merampas 11 biji pil ekstasi dan 2 peket plastik mengandungi serbuk ketamin.

“Ujian air kencing ke atas semua suspek mendapati hanya 32 orang positif dadah jenis methamphetamine manakala seorang lagi positif ganja,” kata Ismadi.

Semua individu itu ditahan reman 4 hari mulai semalam, katanya.

Siasatan awal polis juga mendapati terdapat beberapa lagi kumpulan remaja dan belia yang aktif menganjurkan parti seumpama itu di sekitar Lembah Klang.